Jumaat, 4 Ogos 2017

SPRM sedia panggil Dr M mengenai dakwaan RM230 juta milik Zahid

Ia susulan dakwaan bekas ketua pemuda Umno itu pernah memberitahu Dr Mahathir mengenai harta yang dimilikinya.
mahathir-sprmPUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan memberi sebarang komen berhubung dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya pada 1996.
Sebaliknya, Timbalan Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan dan Profesional SPRM, Datuk Seri Jamidan Abdullah, berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan Dr Mahathir tidak lama lagi.
Katanya setakat ini tidak ada sebarang arahan untuk SPRM membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.
“Kita akan keluarkan kenyataan nanti,” katanya sambil menyatakan kesediaan memanggil Dr Mahathir memberi keterangan lanjut.
Jamidan sebelum itu hadir pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di sini.
Selasa lepas, Dr Mahathir membangkitkan pengisytiharan harta yang dibuat Zahid ketika dilantik sebagai ketua Pemuda Umno, termasuk memiliki RM230 juta dalam akaun banknya.
Bagaimanapun, Mahathir mengakui tiada bukti hitam putih berhubung dakwaannya.
“Pada masa itu, dia (Zahid) beri laporan mulut kepada saya, saya tidak ambil berat perkara itu.
“Dia bagi penerangan kononnya hasil perniagaan, walaupun saya ragu-ragu, saya tidak ada bukti ketika itu.
“Sekarang ini patut dia jawab dari mana dia dapat wang sebegitu banyak,” kata bekas perdana menteri itu.

1 ulasan:

  1. Saya harap SPRM bertindak adil kpd sesiapa yang disyaki rasuah. Saya setuju disiasat dakwaan mahadir ini kerana jika dakwaan itu bohong maka nama baik TPM akan kekal. Jika tidak dibersihkan maka rakyat akan kecewa mempunyai TPM yg ada wang berjuta tapi tak sahih sumbernya.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA