Sabtu, 5 Ogos 2017

SPRM masih belum terima laporan RM230 juta dalam akaun Zahid

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai dakwaan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai RM230 juta dalam akaun banknya.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa bahawa Zahid mempunyai wang tunai sebanyak itu dalam akaunnya pada 1996 namun mengakui beliau tidak mempunyai sebarang bukti tentang perkara itu.
Dalam kes Felda Investment Corporation (FIC) pula, SPRM masih menjalan siasatan terhadap kes pembelian dua hotel di Kensington, London dan di Kuching, Sarawak, kata Dzulkifli.
Dzulkifli berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap FIC dan tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa individu bakal dipanggil untuk membantu siasatan.
Menurutnya, SPRM memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan siasatan kes berkenaan dan berharap semua pihak akan terus memberi sokongan kepada SPRM bagi menyelesaikan kes itu.
"Tunggu la...mungkin ada lagi yang akan dipanggil kerana proses siasatan masih berlangsung. Ketika ini, kami sedang berusaha untuk selesaikan siasatan kes ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di George Town hari ini.
SPRM memulakan siasatan pembelian hotel di Kuching itu susulan maklumat yang diterima pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini, dan tujuh individu sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA