Sabtu, 12 Ogos 2017

SPRM jangan jadi ‘pak turut’, perlu bebas!

Gejala rasuah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dan ia dibuktikan dengan peningkatan nilai rampasan wang tunai hasil operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen yang membangkitkan kebimbangan itu berkata, sejumlah RM779.66 juta wang rasuah berjaya dirampas SPRM dari tahun 2013 hingga 2017 berdasarkan jawapan kerajaan di Parlimen.
“Ia merupakan peningkatan besar berbanding dalam tempoh 2009-2013 dengan nilai rampasan berjumlah RM17,083,729.91 berdasarkan jawapan kepada soalan yang sama dibangkitkan saya pada Oktober 2013.
“Ia meningkat mendadak sebanyak 4,463 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jumlah nilai rampasan yang dinyatakan itu, katanya lagi, tidak mengambil kira skandal mega membabitkan syarikat dana berdaulat negara, 1MDB dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).
“Integriti Kewangan Global (GFI) dalam laporannya mendakwa Malaysia pada awal tahun ini kehilangan lebih satu trilion ringgit membabitkan wang haram dalam tempoh 10 tahun dari 2005 hingga 2014 dengan peratusan besarnya adalah wang rasuah,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Ko yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Perak berkata, SPRM perlu diberi kebebasan penuh serta lebih kuasa untuk mendakwa lebih ramai individu yang terlibat dengan gejala rasuah.
Katanya, SPRM tidak harus sekadar menjadi badan kerajaan yang hanya melaporkan kepada Perdana Menteri yang diketahui turut terbabit dalam skandal mega.
Sejumlah AS$681 juta dipindahkan secara haram ke akaun peribadi milik “Malaysian Official 1” atau “MO1” yang disebut sebanyak 32 kali dalam dokumen saman sivil yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Julai 2016.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahmad Dahlan mengesahkan bahawa “MO1” adalah Perdana Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA