Selasa, 1 Ogos 2017

SPR akhirnya setuju adakan siasatan tempatan kedua di Bandar Tun Razak


SPR akhirnya setuju adakan siasatan tempatan kedua di Bandar Tun Razak
Peguam Syahredzan Johan berkata keputusan dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya bersetuju mengadakan siasatan tempatan kedua di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. 
TIGA pengundi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak menarik semula semakan kehakiman selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju mengadakan siasatan tempatan kedua di kawasan tersebut.
Sebelum ini Mohammad Saiful Mansur, Khairuddin Asmuin dan Norma Hashim membawa kes ke mahkamah apabila SPR tidak mahu mengadakan siasatan tempatan kedua walaupun terdapat bantahan daripada 100 pengundi di kawasan itu.
"Pada 27 Julai lalu, kami menerima sepucuk surat daripada pihak SPR mengatakan mereka akan mengadakan siasatan tempatan yang kedua. Dan ia merupakan asas kepada tindakan kami.
"Sekiranya kita tidak memfailkan semakan kehakiman ini, SPR memang tidak akan adakan siasatan tempatan kedua," kata peguam Syahredzan Johan kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Syahredzan berkata, penarikan semula semakan kehakiman hari ini dibenarkan Hakim Kamaludin Md Said tanpa sebarang kos.
Menurut Syahredzan, ini kali ketiga SPR tidak mahu mengadakan siasatan tempatan menggunakan hujah bantahan yang difailkan tidak mencukupi.
"Tetapi apabila kita failkan permohonan di mahkamah baru mereka adakan siasatan tempatan.
"Sebelum ini sudah berlaku di Segambut, Setiawangsa. Kita failkan permohonan, baru SPR adakan siasatan tempatan," katanya.

Timbalan Pengerusi Bersih Shahrul Aman mengingatkan SPR agar tidak menyusahkan rakyat.
"Dalam kes kali ini kita ada Saiful dan rakannya yang mengambil tanggungjawab sebagai rakyat dan sanggup membawa kes ke mahkamah, menghabiskan masa dan wang.
"Tetapi tidak semua rakyat mampu berbuat demikian. SPR sepatutnya memudahkan rakyat untuk menjalani proses pilihan raya ini," katanya.
Sementara Saiful yang mewakili pengundi Bandar Tun Razak berkata, sejak awal mereka memang mempunyai masalah sekiranya persempadanan semula dilakukan SPR.
"Sebelum ini kami ada menyatakan kepada SPR masalah yang berlaku akibat persempadanan semula seperti pengundi dipindahkan tanpa pengetahuan mereka dan sebagainya.
"Disebabkan SPR tidak mengendahkan, kami bawa ke mahkamah dengan bantuan Bersih. Barulah kami mendapat perhatian SPR," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA