Jumaat, 11 Ogos 2017

Skandal Scorpene: Seksyen 66(1) Akta SPRM beri kuasa siasat Razak Baginda

SPRM boleh mengambil tindakan prosiding jenayah terhadap warganegara yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut di luar negara, kata badan kesedaran anti-rasuah.
Razak-Baginda Badan kesedaran anti-rasuah, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengggunakan Seksyen 66(1) Akta SPRM untuk melancarkan prosiding jenayah terhadap Abdul Razak Baginda, berikutan pendakwaan oleh tribunal Perancis.
Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel dalam kenyataan hari ini menjelaskan seksyen tersebut memberi kuasa kepada SPRM untuk mengambil tindakan prosiding jenayah terhadap warganegara yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut di luar negara.
“Banyak yang sudah dilaporkan mengenai pendakwaan Razak Baginda oleh tribunal Perancis berkenaan rasuah aktif dan pasif yang dikaitkan kepada pembelian 2 kapal selam Scorpene, tetapi C4 terkejut dengan kebisuan kerajaan berhubung perkembangan terbaharu itu.”
Cynthia berkata penggunaan syarikat kosong harus menarik perhatian serius kerajaan, kerana pendakwaan seorang rakyat Malaysia dalam urusjanji kapal selam itu menunjukkan kepada penggelapan besar-besaran dan rasuah rentas sempadan oleh individu terlibat.
“Oleh itu, C4 merasakan SPRM tidak perlu dan membazirkan dana awam sekiranya menghantar penyiasat ke Perancis untuk mendapatkan maklumat mengenai status kes itu, kerana ternyata SPRM ada kuasa untuk memulakan prosiding jenayah terhadap Razak.
“Sekarang giliran untuk SPRM bertindak. Suruhanjaya perlu bertindak sekarang, tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya.
Razak, yang namanya kerap dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak ketika menerajui Kementerian Pertahanan pada masa pembelian itu, didakwa di Perancis 18 Julai lepas kerana bersubahat “secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat”, berhubung penjualan 2 kapal selam Scorpene kepada Malaysia pada 2002.
Pada masa pembelian Scorpene, Razak merupakan penganalisis politik yang rapat dengan Najib.
Siasatan ke atas urusjanji itu dilancarkan pada 2010 sebagai respon kepada aduan daripada kumpulan hak asasi Malaysia, Suaram.
Di bawah perjanjian itu, DCNI bersetuju untuk membayar €30 juta (RM151.81 juta) kepada unit Thales di Asia, Thales International Asia (Thint Asia).
Siasatan mendedahkan sebuah syarikat lain, Terasasi, di mana Razak mempunyai kepentingan, menerima bayaran untuk kerja perundingan. Penyiasat Perancis bagaimanapun percaya ia sebenarnya wang sogokan.

Penyiasat Perancis juga sedang melihat dakwaan €114 juta (RM576.86 juta) dibayar kepada syarikat kosong yang berpangkalan di Malaysia, Perimekar, dalam urusjanji itu. Syarikat tersebut ketika itu dikawal isteri Razak.
Namun, Razak dalam kenyataan 1 Ogos lalu berkata media sebenarnya terkeliru dengan proses keadilan Perancis, dan berakta beliau bukan didakwa sebagaimana istilah itu digunakan dalam sistem kehakiman Malaysia.
“Istilah ‘didakwa’ (indicted) dalam konteks siasatan bermakna meletakkan seseorang di bawah siasatan rasmi. Proses perundangan Perancis berbeza daripada proses perundangan Malaysia.
“Dalam proses perundangan Malaysia, seseorang yang menjadi suspek jenayah disiasat dan sekiranya ada bukti mencukupi, dia didakwa di mahkamah,” kata Razak dalam kenyataan kepada FMT.
Razak bertegas beliau masih belum dihadapkan di mana-mana mahkamah.
“Amat kesal laporan berita tidak tepat dan fakta yang sebenar tidak dilaporkan,” katanya, merujuk 2 laporan AFP yang turut disiarkan media lain sebelum ini.
Sebelum ini, 4 individu yang terlibat penjualan Scorpene kepada Malaysia berdepan siasatan atas tuduhan “menyalah guna aset awam”.
Mereka ialah Philippe Japiot, bekas pengerusi DCNI, Jean-Paul Perrier, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales, Dominique Castellan, bekas presiden DCNI, dan Bernard Baiocco, bekas presiden Thales International Asia. Kesemuanya menafikan tuduhan ke atas mereka.

1 ulasan:

  1. Jk razak baginda kawan rapat dsai atau mat sabu atau lge, dah lama sprm akan siasat semula kes scorpene

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA