Khamis, 3 Ogos 2017

Skandal Scorpene: Peguam Perancis sahkan Razak didakwa


Peguam Perancis sahkan Razak didakwa, kata persatuan sivil Malaysia
Peguam Perancis William Bourdon mengesahkan bekas penasihat perdana menteri, Abdul Razak Baginda didakwa atas tuduhan rasuah di Perancis pada 18 Julai. 
KUMPULAN persatuan sivil mendesak Malaysia bekerjasama dengan mahkamah Perancis dalam siasatan mereka terhadap Abdul Razak Baginda yang didakwa dengan pertuduhan jenayah berhubung urus niaga penjualan kapal selam Scorpene.
Dalam kenyataan bersama Suaram dan Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), mereka berkata peguam Perancis William Bourdon mengesahkan Razak didakwa atas tuduhan “bersubahat dengan aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penyelewengan harta korporat”.
Bourdon mengesahkannya kepada pengarah eksekutif Suaram dan C4, Sevan Doraisamy dan Cynthia Gabriel semalam, yang Razak didakwa pada 18 Julai.
Sevan berkata Bourdon memberitahu mereka yang hakim menyiasat ada kuasa untuk mendakwa tuduhan jenayah terhadap suspek yang didapati bersalah melanggar undang-undang Perancis.
Bourdon berkata kes itu juga tertakluk di bawah konvensyen anti rasuah OECD.
Peguam mereka berkata tidak sepatutnya wujud sebarang keraguan terhadap pendakwaan itu kerana Perancis mempunyai sistem mahkamah dua peringkat dan semua orang yang didakwa akan dibawa ke mahkamah lebih tinggi apabila inkuiri disiapkan.
Bourdon turut memberitahu Suaram dan C4 yang hakim menyiasat Roger LeLoire menulis 11 halaman penghakiman berasingan untuk pendakwaan Razak dan rasional tuduhan jenayah dikenakan terhadapnya.
Sevan berkata mereka mengalu-alukan perkembangan terbaru itu dalam inkuiri Scorpene yang diadakan di Tribunal deGrande Instance, di Paris.
“Kami ucap tahniah kepada hakim kerana kesungguhannya dalam mengendalikan kes itu dan membawa perkembangan baru kepada inkuiri itu, sejak lima tahun penyiasatan bermula,” katanya.
Sevan berkata pendakwaan terhadap Razak mengesahkan kebimbangan mereka yang rasuah besar berlaku dan jutaan duit pembayar cukai rakyat Malaysia diselewengkan menerusi pemerolehan urus niaga itu pada 2002.
Perancis mendakwa Razak atas tuduhan rasuah pada 2002 membabitkan penjualan kapal selam kepada Malaysia.
AFP melaporkan Razak didakwa di Perancis pada 18 Julai.
Perancis memulakan siasatan pada 2010 susulan aduan daripada Suaram sebagai kumpulan hak asasi Malaysia.

Suaram dan C4 berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan terhadap kes itu serta-merta, dan memalukan jika Malaysia tidak mengambil tindakan sementara Perancis sudah pun meneruskan kes itu dengan mendakwa beberapa individu berkaitan.
Sevan berkata pihak berkuasa Malaysia tidak boleh lagi terus berdiam diri mengenai urus niaga Scorpene, terutama dengan perkembangan terkini di Perancis.
Katanya, memandangkan pegawai dan perunding utama Malaysia dalam urus niaga itu didakwa dengan pertuduhan jenayah, ia menunjukkan berlaku rasuah antara sempadan besar-besaran berhubung kes berkenaan.
Razak merupakan penasihat kepada Najib semasa perdana menteri menjawat jawatan menteri pertahanan antara 2000 dan 2008.
Dalam tempoh tersebut, Najib menyelia perjanjian pembelian dua buah kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam jenis Agosta bernilai €1 bilion (RM5 bilion) dari unit limbungan kapal DCN Perancis, yang dikaitkan dengan Kumpulan Thales, sebuah syarikat teknologi pertahanan di negara itu.
Kerajaan Malaysia berkata kontrak itu bebas daripada rasuah.
Pasukan penyiasat di Perancis juga sedang meneliti dakwaan kononnya €114 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada urus niaga tersebut. Syarikat tersebut pada masa itu dikawal isteri Razak.
Empat eksekutif industri pertahanan Perancis setakat ini didakwa sejak siasatan tersebut bermula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA