Rabu, 2 Ogos 2017

Skandal Scorpene: NGO gesa AG buka semula siasatan



Pengarah Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuka semula siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal kapal selam Scorpene.

Ia susulan laporan AFP bahawa Abdul Razak Baginda didakwa di negara itu atas tuduhan sogokan dalam penjualan kapal selam ke Malaysia.
Cynthia merupakan individu yang giat dalam usaha melaporkan kepada pihak berkuasa Perancis mengenai pembelian dua kapal selam Scorpene oleh Malaysia 15 tahun lalu.
cynthia c4"Tidak perlu berdolak dalik lagi," katanya seperti dipetik FMT.
Beliau turut meluahkan rasa lega terhadap perkembangan terkini siasatan itu.
"“Lima tahun sejak siasatan dibuka, saya berdepan gangguan dan intimidasi dan menerima ancaman kerana bertindak sebagai pemberi maklumah,” katanya yang kini mengetuai NGO anti-rasuah, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).
Menurutnya, langkah mendakwa Razak merupakan kemenangan kepada kumpulan aktivis seperti Suaram dan C4 “yang terus bertahan dalam misi membawa si korup ke muka pengadilan.
“Mereka perlu menjawab atas kelakuan mereka,” kata Cynthia.
Semalam, AFP melaporkan Razak didakwa di Perancis dua minggu lalu kerana bersubahat “secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat”, berhubung penjualan 2 kapal selam Scorpene kepada Malaysia pada 2002.
Ia merupakan langkah pertama sebelum Razak dapat dibicarakan atas tuduhan itu, sementara menunggu arahan rasmi majistret untuk penyiasat memulakan siasatan.
Pembelian kapal selam Scorpene pada 2002 dikaitkan dengan Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat dikaitkan dengan Razak, yang rapat dengan menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Razak yang dikaitkan dalam pembunuhan kekasihnya Altantuya Shaariibuu pada 2006, dibebaskan daripada pertuduhan itu pada 2008.
Altantuya dikatakan menuntut pembayaran atas peranannya sebagai penterjemah dalam proses pembelian itu, sebelum dibunuh dengan kejam pada November 2006. Dua pegawai polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan itu.

AFP sebelum ini melaporkan susulan pembelian Scorpene, komisen lebih €114 juta (RM570 juta) dibayar kepada sebuah syarikat kosong dikaitkan Razak.
Mengulas respons Razak yang mengkritik media kerana tidak melaporkan secara tepat proses kehakiman Perancis, Cynthia berkata ia kerana sistem di negara itu terbahagi kepada 2 peringkat.
“Ini peringkat pertama. Majistret sudah menerima kuasa untuk membawa pertuduhan,” katanya.
Lewat malam tadi, Razak dalam kenyataan berkata beliau bukan didakwa sebagaimana istilah itu digunakan dalam sistem kehakiman Malaysia.
“Istilah ‘didakwa’ (indicted) dalam konteks siasatan bermakna meletakkan seseorang di bawah siasatan rasmi. Proses perundangan Perancis berbeza daripada proses perundangan Malaysia.
“Dalam proses perundangan Malaysia, seseorang yang menjadi suspek jenayah disiasat dan sekiranya ada bukti mencukupi, dia didakwa di mahkamah,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

1 ulasan:

  1. 1mdb pun dia tutup rapat. Jgn haraplah dia nak buka semula scorpene. Penguatkuasa undang2 yg tak ikut undang2. Depan Allah nanti baru dia tau

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA