Jumaat, 11 Ogos 2017

Skandal 1MDB: ‘Pokoknya, saman sita DoJ beku selama-lamanya’, sembang BN

Ini kerana tempoh penggantungan permohonan membekukan aset dan wang itu tidak ditentukan, kata timbalan pengarah pasukan komunikasi strategik BN.
Eric Tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat meminta mahkamah menggantung sementara permohonan sivil membekukan aset dan wang yang didakwa dilarikan daripada 1MDB bererti saman sitaan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) “beku selama-lamanya”, kata Pasukan Komunikasi Strategik BN (BNSC).
Ini kerana tempoh penggantungan itu tidak ditentukan, kata Timbalan Pengarah BNSC Eric See-To kepada FMT.
“Permintaan itu luar biasa kerana lazimnya ada had masa untuk permintaan seperti itu. Pada hakikatnya, saman sivil berkaitan kes itu yang bermula lebih dari setahun lalu yang pada dasarnya tidak ke mana, kini dibekukan.”
Bloomberg hari ini melaporkan pihak berkuasa AS memohon mahkamah menggantung sementara permohonan sivil mereka dan kini memulakan siasatan jenayah terhadap dana yang didakwa dilarikan daripada syarikat milik Malaysia itu.
Kerajaan bagaimanapun tidak terganggu dengan laporan tersebut, kerana menurut Eric, ini kerana tiada pendakwaan jenayah difailkan DoJ setakat ini.
“Jika Jabatan Kehakiman AS mempunyai asas yang mencukupi untuk memfailkan tuduhan jenayah terhadap individu terbabit, maka dakwalah mereka dan biarkan mahkamah dan individu terlibat buktikan sama ada mereka bersalah atau tidak.
“Selagi pertuduhan tidak failkan, kesannya ialah kerajaan AS pada asasnya sudah membekukan saman sivil yang digembar-gemburkan itu selama-lamanya,” katanya.
Bloomberg hari ini melaporkan permohonan DoJ semalam tanda-tanda AS meningkatkan siasatan untuk mengesan berapa banyak wang yang dihasilkan 1MDB untuk projek pembangunan digunakan untuk hartanah, karya seni, pembikinan filem dan banyak lagi.
Laporan itu mendakwa pegawai DoJ meminta seorang hakim di mahkamah Los Angeles untuk menggantung sementara permohonan sivil yang mahu merampas aset yang diperolehi ahli perniagaan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurutnya, meneruskan permohonan itu akan menjejaskan usaha melakukan siasatan jenayah.
Menurut Bloomberg lagi, seorang ejen FBI memberi amaran maklumat yang didedahkan dalam kes sivil itu mungkin mendedahkan “sasaran yang berpotensi dan subjek siasatan serta teknik siasatan yang pernah dan akan digunakan dalam siasatan”.

Bagaimanapun, Eric berkata bagi 1MDB, wang yang didakwa digelapkan itu bukan lagi milik syarikat secara sah ketika penggelapan berlaku.
“Wang itu sudah meninggalkan akaun 1MDB dan dipindahkan ke pihak ketiga melalui transaksi yang sah. Daripada pihak ke-3 itulah dana itu didakwa digelapkan – bukan secara langsung daripada 1MDB.
“Oleh itu, 1MDB membuat tuntutan kepada pihak ke-3 – yang kebanyakannya “Aabar palsu” tetapi dimiliki dan dijalankan eksekutif Aabar sebenar,” kata Eric, merujuk kepada nama yang menyerupai Aabar Investments PJS, anak syarikat International Petroleum Investment Company (Ipic).
DoJ dalam saman sivilnya mendakwa lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB dilencongkan pegawai tinggi dana itu dan rakan mereka dari 2009 hingga 2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA