Rabu, 9 Ogos 2017

Skandal 1MDB: Pendirian puas hati PAS hina Parlimen

PAS kata berpuas hati dengan penerangan yang diberikan, sedangkan kita ahli parlimen tidak ada jawapan sampai sekarang bagi saya ini betul-betul satu tindakan memalukan.
mujahid-1mdb
Pendirian PAS menyatakan parti itu berpuas hati selepas mendengar penjelasan mengenai hutang ditanggung 1MDB dan pelan rasionalisasi daripada presiden 1MDB sendiri, Arul Kanda Kandasamy merupakan kenyataan memalukan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, PAS tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut walaupun telah mendapat penjelasan daripada 1MDB kerana penerangan berhubung isu tersebut tidak didedahkan secara terbuka, malah ia diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.
“Kita dengar ada 1 parti, mereka jumpa Arul, mereka kata berpuas hati dengan penerangan yang diberikan, sedangkan kita ahli Parlimen tidak ada jawapan sampai sekarang.
“Bagi saya ini betul-betul 1 tindakan memalukan. Pihak yang mengatakan mereka berpuas hati itu memalukan sistem demokrasi parlimen kerana ia tidak dibentang di Parlimen secara telus,” kata beliau pada forum Diskusi bertajuk “Di Sebalik Laporan Audit Negara”.
Tambah Mujahid, kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah 1 penghinaan kepada ahli-ahli Parlimen.
“Saya rasa kenyataan (PAS berpuas hati dengan penerangan 1MDB) agak menghina kami ahli-ahli Parlimen sebenarnya. Sebab saya kata menghina kerana soalan kami (Pakatan Harapan) tidak dijawab di Parlimen, sebanyak 32 soalan, malah ditolak secara mentah-mentah.
“Sangat malang kenyataan yang dibuat timbaan presiden PAS, sedangkan 1 dunia tahu 1MDB ini bermasalah,” katanya.
Kelmarin, PAS berkata mereka berpuas hati selepas mendengar penjelasan mengenai hutang yang ditanggung 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang itu daripada Arul Kanda.
Arul Kanda memberikan penerangan kira-kira 2 jam kepada Tuan Ibrahim dan hampir 30 ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta tokoh jemputan seperti bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mujahid mencabar Arul Kanda dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan secara terbuka di Parlimen supaya rakyat mendapat penjelasan sebenar.
“Arul kalau nak cakap dia kena datang Parlimen dan biar perdana menteri sendiri bagi penjelasan. Kalau 1MDB ini tidak ada masalah, tempat pertama dia kena buat penjelasan di Parlimen.
“Kita ahli Parlimen tuntut kalau Arul berani jumpa PAS, saya cabar dia datang ke Parlimen jumpa kami ahli Parlimen PH cerita apa yang berlaku secara terbuka,” katanya.

Semantara itu, Pengarah Eksekutif NOW, Akmal Nasir berpendapat tindakan Arul Kanda membuat penerangan secara tertutup kepada pemimpin PAS tidak lebih daripada usaha ingin mempergunakan pihak lain bercakap tentang 1MDB.
“Saya risau apabila dibuat pertemuan tertutup, saya bimbang Arul hanya ingin menggunakan orang lain untuk bercakap bagi pihak beliau.
“Kalau betul semua elok, ceritalah secara terbuka, tidak perlu letak di bawah OSA. Saya tengok penerangan secara tertutup ini memang aneh. Nasihat saya, kalau nak panggil boleh kita buat live buat diskusi biar orang ramai tahu,” katanya.
Selain Mujahid dan Akmal turut diangkat sebagai ahli panel forum tersebut ialah peguam yang juga pemimpin PKR Kedah, Saiful Izham Ramli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA