Jumaat, 11 Ogos 2017

Skandal 1MDB: Pembekuan saman sivil 1MDB untuk elak kemusnahan bukti, kata FBI

JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan penangguhan saman sivil untuk merampas aset berbilion dolar yang dikaitkan dengan kleptokrasi di Malaysia kerana proses penemuan bukti boleh menjejaskan siasatan jenayah yang dijalankan.
“Pendedahan itu boleh menyebabkan kemusnahan bukti, peluang untuk subjek dan sasaran melarikan diri, atau pendedahan dan gangguan terhadap saksi yang berpotensi, kata Ejen Khas Jill Enyart dalam satu deklarasi yang dilaporkan Variety.
Proses penemuan juga akan “menjejaskan keselamatan beberapa kakitangan penguatkuasa undang-undang antarabangsa” ketika  menghalang kerajaan luar campur tangan dalam siasatan yang sedang berjalan.
Saman sivil itu kini ditangguhkan dan pendakwaraya persekutuan akan memaklumkan perkembangannya kepada mahkamah setiap enam bulan.
Syarikat peaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini dalam siasatan pihak kerajaan Amerika Syarikat terhadap dakwaan penyelewengan, penggubahan wang haram dan rasuah di peringkat tertinggi kerajaan.
Bagaimanapun Barisan Nasional, parti yang memerintah di Malaysia mengambil pandangan berbeza berhubung notis pihak pendakwaraya AS untuk menangguhkan saman sivil.
Jurucakapnya, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-to berkata tindakan DoJ itu bermakna pentadbiran AS sebelum ini “mengambil tindakan tanpa bukti yang cukup untuk membawa kes ke depan”.
See-To berkata tindakan untuk menggantung saman itu dibuat DoJ di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, boleh “membuka jalan untuk perbincangan yang membina” antara Malaysia dan AS, dengan kejayaan lawatan Setiausaha Negara AS Rex Tillerson ke Kuala Lumpur minggu ini.
“Sekiranya Jabatan Kehakiman AS mempunyai bukti yang cukup untuk failkan dakwaan jenayah ke atas individu terbabit, dakwa mereka dan biar mahkamah dan individu terlibat membuktikan sama ada mereka bersalah atau tidak.
“Sebelum dakwaan seperti itu difailkan, kerajaan AS pada dasarnya membekukan banyak perkara tentang saman sivil itu,” katanya.

Saman sivil yang difailkan DoJ adalah untuk merampas aset hartanah mewah, pesawat jet, kapal layar, barang kemas berlian dan banyak lagi yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.
DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih  AS$4.5 bilion (RM19.3 bilion) dana 1MDB digubah oleh pegawai tinggi dan sekutunya untuk kepentingan diri.
Antara yang terlibat dengan siasatan skandal itu adalah syarikat produksi Red Granite Pictures yang menghasilkan filem dibintangi Leonardi DiCaprio “The Wolf of Wall Street” dan Daddy’s Home”, yang mana menurut pendakwaraya AS ia dibiaya wang yang dicuri daripada 1MDB.
Ketua pegawai eksekutif syarikat itu adalah anak tiri kepada Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA