Jumaat, 11 Ogos 2017

Skandal 1MDB: KPN akan periksa siasatan jenayah AS terhadap aset berkaitan 1MDB.

Ahli Parlimen pembangkang menyeru Khalid Abu Bakar bekerjasama dangan DoJ untuk mencari kebenaran di sebalik dakwaan melibatkan Jho Low dan 1MDB.
khalid-abu-bakar-1mdb-agc-1
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata hari ini beliau akan semak laporan Amerika Syarikat memulakan penyiasatan jenayah terhadap aset dibeli dengan duit yang didakwa dicuri daripada 1MDB.
Ditanya untuk komen mengenai laporan itu, Khalid beritahu FMT dalam sebuah mesej Whatsapp, “Saya perlu semak”.
Bagaimanapun FMT gagal menghubungi Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali setakat ini.
Awal hari ini, Bloomberg melaporkan pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) meminta seorang hakim di Los Angeles menangguh permohonan rampasan harta terhadap aset diperoleh pemodal Malaysia Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, kerana tindakan tersebut mungkin memberi “kesan buruk” ke atas kebolehan menjalankan penyiasatan jenayah.
Aset tersebut, bernilai lebih AS$1 bilion, termasuk hartanah mewah, lukisan, penerbitan filem dan banyak lagi.
Dalam kes sivilnya, AS mendakwa daripada 2009 sehingga 2015, lebih daripada AS$4.5 bilion kepunyaan 1MDB dilencongkan pegawai tinggi tabung itu dan rakan mereka.
Sementara itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang menggesa Khalid, Apandi, dan Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim bekerjasama penuh dengan pihak AS bagi menyiasat dakwaan itu secara mendalam.
Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata mereka bertiga belum melakukan sebarang tindakan yang menunjukkan mereka akan bantu mendapatkan kebenaran hal itu.
“Sikap membutakan mata dan memekakkan telinga ini satu pengabaian ke atas kepercayaan orang awam kepada institusi kita,” tambah ahli parlimen PKR itu.
Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking, yang juga timbalan presiden Parti Warisan Sabah, berkata Apandi harus disoal sekali lagi mengenai apa yang dilakukannya berkenaan hal ini dan mengapa negara lain pula yang menegakkan keadilan untuk rakyat Malaysia.
“Nampaknya langkah terbaru DoJ menunjukkan kepada kita AS sedang bertindak terhadap mereka yang didakwa dan bagi pihak rakyat Malaysia hari ini dan masa depan, yang menjadi mangsa dalam isu ini,” tambah beliau.
Wong dan Leiking menyeru sesi Parlimen khas untuk membincangkan perkembangan terbaharu. Bagaimanapun, dalam masa yang sama, mereka akui perkara itu sukar berlaku.
Wong berkata: “Kita mesti adakan sesi Parlimen khas, tetapi dengan arahan jenaka sekarang, apa yang boleh bahas kalau kita tidak boleh sebut pun 1MDB di Parlimen?”
Di sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak lebih 30 soalan berkenaan 1MDB, mengatakan perbincangan isu itu subjudis kerana berkaitan dengan tuntutan mahkamah DoJ.
Leiking meragui speaker akan memanggil sesi khas kerana Putrajaya mengalami “sindrom penafian” dan terus memberi alasan mengelakan perdebatan mengenai perkara ini di Parlimen.
“Malah, soalan ahli Parlimen yang prihatin pun ditolak atas alasan subjudis, padahal tiada tindakan diambil di Malaysia atas perkara itu.
“Parlimen sebenarnya ialah tempat terbaik untuk mendebatkan isu 1MDB kerana wakil rakyat boleh tanya kerajaan apa yang berlaku, apa penyelesaiannya dan apa hala tuju isu ini.”
Apa seterusnya?

Leiking berkata reputasi Malaysia sememangnya akan terjejas lagi, terutamanya dengan situasi “sindrom penafian” Putrajaya, tetapi Wong percaya langkah terbaru DoJ akan memberi masalah kepada Jho Low.
“Kini nampaknya Jho Low mengira hari. Apabila penyiasatan jenayah bermula di AS, dia tidak mampu bersembunyi kecuali di negeri tidak berundang-undang. Selamat tinggal kepada parti di New York, London atau Paris.”
Wong berkata Jho Low mungkin perlu tinggalkan Hong Kong juga, dan polis antarabangsa akan diminta bekerjasama menangkap dan menyerahkan Jho Low kepada AS.
“Persoalannya ialah berapa jauh hal ini akan pergi? Laporan DoJ juga menonjolkan Riza Aziz dan Jasmine Loo. Adakah mereka akan didakwa?”
Riza, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ialah ketua pegawai eksekutif Red Granite, syarikat penerbitan di AS yang menerbitkan filem “Wolf of Wall Street”.
Red Granite dinamakan DoJ sebagai salah satu penerima wang yang didakwa menggelapkan wang 1MDB, walaupun disangkal syarikat itu.
Loo ialah bekas ketua penasihat 1MDB dan pegawai perhubungan 1MDB kepada Kumpulan Goldman Sachs Berhad, yang membantu 1MDB meraih AS$6 bilion.
Menurut dokumen DoJ, kira-kira AS$5 juta diraih untuk 1MDB yang didakwa bergerak melalui beberapa syarikat kosong dan akhirnya dalam akaun bank Switzerland milik Loo.

1 ulasan:

  1. Siasat dan periksa KPN negara Malaysia ini atas dakwaan bersekongkol dgn penjenayah 1MDB.......

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA