Jumaat, 11 Ogos 2017

Skandal 1MDB: Kes rasuah Red Granite ditangguhkan hingga siasatan jenayah 1MDB selesai


Kes rasuah Red Granite ditangguhkan hingga siasatan jenayah 1MDB selesai
Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite, Riza Aziz yang juga anak tiri perdana menteri memeluk pelakon Leornado diCaprio pada satu majlis di Hollywood. 
PENDAKWA Amerika Syarikat (AS) menangguhkan kes rasuah membabitkan Red Granite Pictures sementara mereka meneruskan pendakwaan jenayah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor majalah hiburan AS Variety.
Pendakwa berkata mereka akan menangguhkan seketika kes sivil berkenaan kerana prosedur pasca perbicaraan akan menjejaskan siasatan jenayah itu, menurut usul yang difailkan di mahkamah persekutuan AS semalam.
“Penemuan seumpama itu boleh menyebabkan kerosakan bukti, subjek dan orang yang disasarkan mungkin melarikan diri, atau identifikasi dan gangguan terhadap saksi,” kata Ejen Khas Jill Enyart dipetik sebagai berkata di Variety.
Proses pasca perbicaraan juga boleh menghalang kerajaan luar daripada bekerjasama dengan siasatan yang sedang dijalankan dan “menjejaskan keselamatan pegawai penguat kuasa undang-undang asing tertentu”.
Dalam saman sivil itu, Douglas Hansen seorang eksekutif hiburan veteran AS baru-baru ini dilantik sebagai fidusiari bebas.
Beliau bertanggungjawab memantau kewangan syarikat itu dan membantu penyelesaian.
Jabatan Kehakiman (DoJ) AS percaya beberapa filem Red Granite termasuk “The Wolf of Wall Street” dan “Daddy’s Home”, dibiayai menggunakan wang yang dicuri daripada syarikat pelaburan Malaysia, 1MDB.
DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas hartanah dan aset bernilai AS$1 bilion (RM4.29 bilion) yang didakwa dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB.
Ahli kewangan dari Pulau Pinang Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, individu utama dalam saman berkenaan, begitu juga CEO Red Granite, Riza Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Najib Razak.
Dalam saman itu, DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB diselewengkan oleh pegawai tertinggi dan sekutu mereka.
Low, Riza dan Najib menafikan sebarang salah laku.
Red Granite sedang bersedia untuk mengeluarkan filem terbaru “Papillon”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA