Khamis, 3 Ogos 2017

SKANDAL 1MDB: JIKA BAYARAN KALI PERTAMA PUN BERMASALAH, BAGAIMANA DENGAN BAYARAN KALI KEDUA NANTI?

IPIC  akhirnya setuju memberi tempoh selama lima hari kepada 1MDB untuk membuat pembayaran sebanyak AS$603 juta atau RM2.6 bilion setelah kegagalan menepati janji pembayaran yang sepatutnya dibuat pada 31 Julai lalu.

1MDB dalam jawapannya mengenai kegagalan menunaikan janji itu menjelaskan ia adalah kerana masih menunggu dana daripada pelan rasionalisasi yang sepatutnya diterima pada bulan lalu.

Najib Razak pula mengatakan kegagalan itu hanya kerana masalah teknikal dan bukan disebabkan 1MDB tidak mempunyai wang.
IPIC, di sebalik memberi tempoh lima hari, turut menyatakan bahawa sekiranya janji itu gagal ditunaikan sekali lagi, 1MDB akan tertakluk kepada obligasi tambahan yang tidak dinyatakan.

Apakah obligasi tambahan itu? 

Denda? Faedah tambahan? Atau apa?

Apa pun alasan atau hujah yang cuba digunakan oleh 1MDB atau Najib  -  kegagalan menunaikan janji bayaran sebagaimana yang sudah dipersetujui bukan saja menunjukkan kelemahan, bahkan juga sebenarnya amat memalukan.

Ini kerana persetujuan mengenainya sudah dibuat sejak awal Mei yang lalu iaitu kira-kira tiga bulan lamanya.

Kenapa 1MDB tiada perancangan yang teliti tentang kewangannya dan seolah-olah hanya berharap kepada sumber yang terhad untuk membayar hutang dan menunaikan janji?

Jika dalam tempoh tiga bulan yang sudah berlalu, 1MDB gagal menunaikan janjinya, apakah jaminan ia betul-betul dapat dilaksanakan dalam tempoh lima hari tambahan yang diberikan oleh 1PIC itu?

Bagaimana jika selepas lima hari nanti, bayaran gagal dibuat lagi?


Selain itu, perlu difahami bahawa bayaran AS$603 juta atau RM2.6 bilion yang sepatutnya dilunaskan kepada IPIC pada 31 Julai ini hanyalah bayaran kali pertama dan bayaran kali kedua dengan jumlah yang sama akan menyusul kewajipannya sebelum 31 Disember akan datang.

Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh 1MDB kepada IPIC ialah sebanyak AS1.205 bilion atau kira-kira RM5.2 bilion dengan dua kali pembayaran - sebelum 31 Julai dan 31 Disember.

Apakah jaminannya 1MDB ada wang yang cukup untuk membayarnya pada 31 Disember nanti atau ia mungkin akan tertangguh lagi?

Apa pula alasannya ketika itu?

Sekali lagi dengan masalah teknikal juga?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA