Rabu, 2 Ogos 2017

Skandal 1MDB: Jawapan Najib tentang hutang 1MDB cemar imej negara

AHLI Parlimen pembangkang membidas penafian Perdana Menteri Najib Razak berhubung kegagalan pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada syarikat Abu Dhabi berkata, jawapan di Dewan Rakyat itu hari ini mencemar imej Malaysia dan menjejaskan kepercayaan pelabur.
Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata jawapan Najib yang menyatakan kegagalan pembayaran hutang itu timbul kerana soal teknikal sebenarnya tidak timbul dan hakikatnya ialah kerana 1MDB tidak mempunyai dana.
Katanya, ini selaras dengan kenyataan dikeluarkan 1MDB semalam yang mereka masih menunggu dana sewajarnya untuk membuat bayaran kepada syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC).
"Kegagalan ini kerana 1MDB tidak ada duit, kalau ada duit maka tidak perlu mereka tuntut dana lain, bayar saja dengan dana sedia ada.
“Tapi memang 1MDB ada masalah kewangan hinggakan IPIC memberi tempoh lima hari kepada 1MDB untuk bayar hutang," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Mahfuz berkata kegagalan 1MDB membayar hutang akan menyebabkan penarafan antarabangsa kedudukan kewangan negara akan jatuh merudum dan turut memberi kesan jangka masa pendek dan panjang dalam pertumbuhan ekonomi.
Ahli Parlimen Raja Kamarul Bahrin Shah turut mempersoalkan dakwaan yang kononnya 1MDB tersilap membuat bayaran pada syarikat yang namanya hampir sama dengan IPIC sebagai satu kesilapan yang memalukan nama Malaysia.
"Ia kesilapan yang amat memalukan, bagaimana 1MDB boleh tersalah bayar AS$2 bilion kepada syarikat yang hampir sama.
“Jika 1MDB tidak dapat dana dan gagal untuk bayar, maka ini akan menghilangkan kepercayaan pada pelabur luar malah kejatuhan mata wang negara akan turut terjejas lagi," katanya.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata pihaknya akan menghantar usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat Seksyen 18 bagi membincangkan isu itu di Parlimen.

Katanya, persoalan kini ialah dari mana kerajaan akan mendapatkan wang untuk membayar hutang kepada IPIC sebanyak RM2.48 bilion dan RM111 juta.
"Dari mana lagi kerajaan Malaysia akan mendapatkan wang untuk menunaikan janji itu dalam keadaan ia tidak mampu membayar hutang IPIC. Adakah ia daripada hasil kutipan GST, cukai yang dikenakan pada rakyat," katanya.
Pada April, 1MDB mencapai persetujuan membayar IPIC sebanyak AS$1.2 bilion secara ansuran sebanyak dua kali. Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, 1MDB dan Kementerian Kewangan bertanggungjawab atas semua pembayaran faedah dan prinsipal di bawah dua bon bernilai AS$3.5 bilion.
Perjanjian itu dicapai selepas 1MDB memungkiri bonnya pada tahun lepas, mencetuskan pertikaian dengan IPIC, yang meminta mahkamah di London untuk menimbang tara tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA