Jumaat, 11 Ogos 2017

Skandal 1MDB: IPIC sahkan 1MDB baru bayar RM1.5 bilion

INTERNATIONAL Petroleum Investment Company PJSC (IPIC) mengesahkan menerima pembayaran AS$350 juta (RM1.545 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam pemfailan kepada Bursa Saham London.
Bayaran itu dibuat sebelum berakhirnya tarikh akhir yang berakhir esok, selepas 1MDB terlepas tarikh asal pembayaran hutang itu pada 31 Julai lalu untuk membayar AS$605 juta kepada dana pelaburan Abu Dhabi dalam bayaran penuh hutang sebanyak AS$1.2 bilion.
“Susulan pengumuman yang dilakukan pada 8 Ogos 2017, IPIC kini menerima dana yang diperlukan pada 12 Ogos 2017 untuk pelanjutan yang dipersetujui bersama Kementerian Kewangan (Perbadanan) Malaysia (MoF Inc) dan 1MDB.
“Sehubungan itu, MoF Inc dan 1MDB kini mempunyai masa sehingga 31 Ogos 2017 untuk melengkapkan tanggungjawab pembayaran yang sepatutnya dilaksanakan pada 31 Julai 2017 di bawah perjanjian penyelesaian dan pembayaran faedah kerana bayaran lambat,” kata IPIC dalam satu kenyataan.
The Malaysian Insight awal pagi hari ini melaporkan yang 1MDB sudah membayar bayaran pertama yang perlu dilakukan itu.
Ketua setiausaha perbendaharaan dan Pengerusi 1MDB Irwan Siregar Abdullah mengatakan yang IPIC melanjutkan tarikh tamat ke hujung bulan Ogos sekiranya 1MDB boleh membayar AS$310 juta pada atau sebelum 12 Ogos.
Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini menyifatkan kegagalan 1MDB untuk membayar hutang sebanyak AS$600 juta kepada IPIC yang sepatutnya dilakukan pada 31 Julai disebabkan “isu teknikal”, mendakwa kegagalan itu bukan kerana 1MDB tidak mempunyai wang.
"Soal IMDB kita sudah keluarkan kenyataan, maka itu soal teknikal saja, bukan sebab tak mampu bayar balik," kata Najib di Parlimen pada 2 Ogos lalu.
Susulan kegagalan pembayaran itu, 1MDB diberikan tempoh lima hari untuk membuat pembayaran atau akan dikenakan tanggungjawab tambahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA