Khamis, 3 Ogos 2017

Skandal 1MDB: IGP tak kisah tindakan undang-undang oleh Azmin

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tiada masalah sekiranya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.
Ini selepas Azmin menghantar surat tuntutan kepada Khalid bagi mencari dan mengekstradisi ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low atas kesalahan di bawah kanun keseksaan berkaitan dakwaan skandal 1MDB.
"Kes siasatan 1MDB ini masih lagi berjalan jadi saya tidak mahu respons terhadap tuntutan itu.
"Jadi, ambillah tindakan mahkamah. Saya tunggulah," kata Khalid dalam satu sidang akhbar di Kolej Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Peguam Latheefa Koya semalam berkata IGP mempunyai 14 hari untuk menjawab tuntutan itu dan sekiranya gagal Azmin akan memfailkan tindakan selanjutnya di mahkamah.
Latheefa juga berkata tuntutan itu dibuat kerana adalah dipercayai tidak ada langkah yang diambil untuk membawa pulang Jo Low ke Malaysia.
Mengikut surat tuntutan itu, Low disyaki terlibat dalam jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 406 atau Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Low yang tidak diketahui keberadaannya dikaitkan dengan skandal 1MDB yang menyaksikan berbilion ringgit dana itu dilesapkan. Dia bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Sementara itu, Khalid enggan menjawab apabila ditanya sama ada kertas siasatan telah dibuka berdasarkan laporan polis yang dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mendedahkan data perbiadi bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya dah jawab satu tadi (soaan) yag luar daripada Sea Games, yang ni kita fokus pada Sea Games. Saya tak mahulah layan soalan-soalan lain," katanya jelas tidak selesa dengan soalan berkenaan.
Bekas ketua bahagian Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah antara mereka yang membuat laporan polis terhadap Zahid kerana "menyalahgunakan" data peribadi Mahathir.
Ini selepas timbalan perdana menteri itu mendakwa beliau menerima satu salinan kad pengenalan Mahathir oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menyatakan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

1 ulasan:

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA