Rabu, 2 Ogos 2017

Skandal 1MDB: E-mel dicuri kaitkan Jho Low dengan 1MDB

WSJ memperincikan kandungan sesetengah e-mel yang nampaknya dari seorang pegawai tertinggi UAE dan rakan kongsi niaganya menunjukkan hubungan mereka dengan Jho Low dan urusan 1MDB.
wsj-jho-low-1mdb-1Pendedahan baru dibuat Wall Street Journal (WSJ) yang nampaknya terus mengaitkan pembiaya Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low dalam isu 1MDB.
WSJ berkata, e-mel dicuri yang baru dikeluarkan menunjukkan hubungan lama Jho Low dengan Yousef Al Otaiba, duta besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Amerika Syarikat.
Laporan itu mendakwa e-mel terbabit menunjukkan Otaiba dan rakan kongsi Jordannya, Shaher Awartani membincangkan pertanyaan yang mereka terima daripada pihak berkuasa AS, Switzerland dan Singapura mengenai transaksi didakwa diterima mereka daripada entiti berkaitan Jho Low.
Laporan WSJ memetik individu yang tahu mengenai siasatan 1MDB di Switzerland, Singapura dan AS berkata, pegawai sedang meneliti butiran pemindahan kepada syarikat dikuasai Otaiba dan Awartani, serta jika mereka membeli aset dengan dana didakwa berasal daripada 1MDB.
Jho Low dinamakan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berada di tengah-tengah dakwaan penyelewengan AS$4.5 bilion dari 1MDB. Bagaimanapun, 1MDB sendiri menafikan dananya hilang.
WSJ berkata, Otaiba dan Awartani enggan mengulas. Menurutnya, Kedutaan UAE di Washington juga enggan mengulas e-mel yang dicuri dari Otaiba, sebaliknya hanya berkata mereka sebahagian daripada kempen politik lawan untuk memburuk-burukkannya. Kedutaan itu menyatakan Otaiba mempunyai kepentingan perniagaan peribadi di luar peranan diplomatiknya.
WSJ berkata, 1MDB juga tidak mahu mengulas. 1MDB secara konsisten menafikan sebarang salah laku. Jho Low turut menafikan sebarang salah laku dan jurucakapnya berkata, e-mel yang bocor itu memberi “gambaran berat sebelah dan tidak tepat”.
E-mel itu dikatakan ditunjukkan kepada WSJ oleh sebuah organisasi bernama Global Leaks yang enggan memberitahu cara mereka mendapatkan e-mel itu. Bagaimanapun, mereka berikrar mahu mendedahkan rasuah dan penipuan kewangan oleh kerajaan kaya.
WSJ sebelum ini melaporkan syarikat berkaitan Otaiba didakwa menerima AS$66 juta dari entiti yang menurut penyiasat, bertindak sebagai saluran untuk wang yang dikatakan dicuri dari 1MDB.

Menurut laporan itu, e-mel berkenaan mendedahkan butiran kekayaaan peribadi Otaiba yang sangat banyak. Baru-baru ini, beliau menjadi sumber yang memberi nasihat kepada menantu dan penasihat Donald Trump, Jared Kushner, mengenai dasar Timur Tengah.
E-mel yang dicuri itu, kata WSJ, nampaknya menunjukkan Otaiba menggunakan pengaruh diplomatiknya untuk meyakinkan bank memberi pinjaman yang dikatakan penting untuk hubungan UAE-Malaysia.
Laporan WSJ memberi petikan kandungan beberapa e-mel, termasuk satu daripadanya pada 2014 yang nampaknya menggalakkan beberapa bank di Abu Dhabi memberi pinjaman jangka pendek kepada 1MDB.
Laporan itu turut menyatakan bayaran yang didakwa dibuat kepada sebuah syarikat di British Virgin Islands dikuasai Otaiba dan Awartani dari sebuah syarikat di British Virgin Islands yang dikatakan milik sekutu Jho Low.
Ia mengaitkan kandungan beberapa e-mel itu kepada dokumen difailkan DoJ di mahkamah AS untuk merampas aset yang didakwa dibeli dengan wang dicuri dari 1MDB.
Ia menyatakan kandungan sesetengah e-mel antara Otaiba dan Awartani serta pegawai bank yang menguruskan kewangan mereka.
Laporan WSJ turut mendedahkan satu e-mel yang didakwa dihantar Jho Low kepada Awartani memintanya segera berhubung dengannya bagi membincangkan “pertanyaan dikemukakan”.
FMT belum nampak e-mel itu dan tidak dapat mengesahkan kesahihannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA