Khamis, 10 Ogos 2017

Skandal 1MDB: Berbohong isu 1MDB punca akar umbi Umno reput

MENCURI satu hal tetapi berbohong dan tidak mengaku mengenainya menyebabkan banyak pemimpin akar umbi Umno di Langkawi hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presiden parti Najib Razak.
Seorang ketua cawangan Umno di Langkawi memberitahu The Malaysian Insight, 80% daripada ahli cawangannya menentang kepimpinan Najib kerana salah langkahnya itu.
"Kalau dia mengaku awal-awal terima duit RM2.6 bilion itu orang tak kisah, mestilah ada sebabnya.
"Tetapi yang dia berbohong, itu saya tidak boleh terima," kata Ahmad Kamardin, 52, yang menjadi ketua Umno cawangan Kampung Mawat, Ulu Melaka, Langkawi sejak 18 tahun lalu.
Ahmad berpendapat Najib sepatutnya menyaman pihak yang menuduhnya mencuri duit sebaik sahaja mereka melemparkan semua tuduhan itu.
"Kalau orang tuduh saya, saya boleh tumbuk orang itu. Tetapi apabila orang tuduh kita, kita tidak buat apa, bagi saya itu mana boleh.
“Di mana maruah pemimpin kita?" Soal bekas tentera yang 33 tahun menjadi ahli Umno itu.
Selepas menyatakan pendirian mengenai Najib dan 1MDB, Ahmad mengalami nasib yang sama seperti pemimpin Umno lain yang mengkritik perdana menteri.
Ahmad Kamardin berpendapat Perdana Menteri Najib Razak perlu menyaman pihak yang melemparkan semua tuduhan berkaitan 1MDB bagi membuktikan beliau tidak bersalah. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2017.
Ahmad Kamardin berpendapat Perdana Menteri Najib Razak perlu menyaman pihak yang 
melemparkan semua tuduhan berkaitan 1MDB bagi membuktikan beliau tidak bersalah.
Beliau diketepikan daripada Umno dan jawatan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang kini diambil alih oleh orang lain.
"Dia tak pecat saya tetapi, jawatan pengerusi JKKK saya dipangku oleh orang lain," kata Ahmad.
Nasib yang sama juga menimpa seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian Langkawi dan ahli JKKK, Mohd Farid Idris, ahli perniagaan muda berumur 36 tahun.
Walaupun selalu bermain golf dengan pemimpin Umno termasuk Menteri Besar Kedah Ahmad Bashah, kerana mengkritik tingkah laku pimpinan Umno, beliau dipecat daripada ahli JKKK di kampungnya.
Kalau dahulu, pelbagai rombongan daripada Umno dan badan kerajaan selalu berkunjung ke restorannya untuk makan, kini restoran Siti Fatimah miliknya agak lengang.
"Saya kenal Adun Kuah ini sudah lama ketika dia menjadi pegawai Kastam lagi dan banyak membantu dia.
"Tetapi selepas menang dan jadi Adun dia sudah berubah. Apa lagi, saya marahlah," kata Farid.
Beliau yakin, ramai orang yang berkongsi sentimen dengannya ragu-ragu dengan Umno dan Najib.
"Ramai sudah lari, tambah-tambah bila Tun Mahathir pun lari," kata Farid yang kini mendekati parti pimpinan Dr Mahahir, Bersatu.
Pengaruh Dr Mahathir

Kontroversi menyelubungi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meninggalkan kesan mendalam di kalangan ahli Umno dan penduduk Langkawi yang mempunyai akses kepada platform media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp.
"Memang orang kampung tak tahu (tentang 1MDB) kerana mereka tidak baca Facebook. Tetapi sudah ramai yang celik berdasarkan penerangan pemimpin mereka.
"Saya pengerusi JKKK, ramai juga yang dengar saya," kata Ahmad.
Bagi Bendahari Bersatu Langkawi, Nur Syafilla Mohammad Fauzi, orang kampung memang tidak tahu banyak maklumat, tetapi mereka percaya kepada pemimpin mereka.
"Mereka mungkin tak ada akses kepada media sosial tetapi orang tua-tua ini percaya kepada Tun (Dr Mahathir),” katanya.
Menurutnya, walaupun yang diperkatakan Dr Mahathir mengenai Najib akan dipercayai mereka.
Bendahari Bersatu Langkawi, Nur Syafilla Mohammad Fauzi berkata Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengaruh yang kuat kepada masyarakat luar bandar. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2017.
Bendahari Bersatu Langkawi, Nur Syafilla Mohammad Fauzi berkata Dr Mahathir Mohamad 
mempunyai pengaruh yang kuat kepada masyarakat luar bandar.
Akhbar The Wall Street Journal pada Julai 2015 menyiarkan laporan mengaitkan Najib dengan tuduhan penyelewengan wang berjumlah RM2.6 bilion. Beliau pada mulanya menafikan tuduhan itu dan mendakwa ia derma daripada jutawan Arab Saudi, yang sebahagiannya kemudian sudah dipulangkan kepada penderma berkenaan.
Najib juga mengeluarkan satu kenyataan mahu mengemukakan saman terhadap WSJ tetapi masih belum berbuat demikian sehingga sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA