Rabu, 9 Ogos 2017

Skandal 1MDB: Adakah duit rakyat bayar hutang 1MDB


Adakah duit rakyat bayar hutang 1MDB, soal Pua pada Johari
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata Putrajaya perlu menjelaskan sama ada wang rakyat digunakan untuk bantu bayar hutang 1MDB atau tidak. 
PUTRAJAYA perlu bercakap benar dalam menjelaskan sama ada mereka menggunakan dana awam untuk membantu syarikat pelaburan negara yang bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyelesaikan hutangnya, kata wakil rakyat DAP, Tony Pua hari ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani tidak sepatutnya menipu kerana ada bukti mencukupi menunjukkan kerajaan menerusi Kementerian Kewangan menggunakan dana awam untuk menyelesaikan hutang 1MDB pada masa lalu.
“Antara contoh jelas ialah pinjaman RM800 juta daripada Perkeso dan RM2.4 bilion lagi bon sukuk Bandar Malaysia yang MoF andaikan sebagai kesan mengambil alih TRX City Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd,” katanya.
Pua berkata MoF secara efektifnya “menyelesaikan” masalah RM3.2 bilion hutang 1MDB ketika ia bersetuju mengambil alih projek hartanah itu dan memegang liabiliti itu kerana laporan ketua audit negara menunjukkan hampir semua di atas hasil pinjaman 1MDB tidak pernah digunakan untuk pembangunan dua projek hartanah berkenaan.
Satu lagi contoh ialah kegagalan penjualan pegangan 60% di Bandar Malaysia kepada konsortium Iskandar Waterfront Holdings(IWH) Sdn Bhd.
Pua berkata 1MDB mengambil deposit RM741 juta yang dibayar ketika menandatangani perjanjian jual beli pada 2015 tetapi apabila MoF membatalkan jualan itu susulan tunggakan pembayaran IWH, RM741 juta itu dikembalikan pada IWH.
Wang yang dikembalikan itu dibuat MoF dan bukannya 1MDB.
“Jadi kenyataan dibuatnya itu satu penipuan dan tidak menggambarkan situasi sebenar 1MDB. Mesti menteri ingat rakyat Malaysia ini bodoh hingga mengeluarkan kenyataan seperti itu untuk menutup skandal 1MDB,” katanya.
Bernama dalam laporannya semalam memetik Johari sebagai berkata MoF tidak pernah memberikan dana awam kepada 1MDB untuk membantunya membayar hutang.
Katanya, beliau tidak tahu jika 1MDB akan meminta bantuan MoF satu hari nanti jika berdepan masalah.
“Tetapi setakat ini mereka tidak datang minta bantuan. Pada masa depan, itu cerita lain,” katanya kepada Bernama ketika mengulas khabar angin yang wang rakyat digunakan untuk menyelesaikan hutang 1MDB.
Dalam perkembangan terkini 1MDB vs International Petroleum Investment Co (IPIC), syarikat pelaburan negara yang sarat hutang itu gagal membayar hutangnya di mana Pua berkata ia sesuatu yang memalukan Malaysia.

Katanya, Putrajaya menerusi MoF sekali lagi akan terpaksa membantu jika 1MDB gagal membayar hutang kepada IPIC dalam tempoh lanjutan yang diberikan.
“Kerajaan akan terpaksa bayar kerana IPIC akan mengejar penjamin jika 1MDB gagal membuat bayaran,” katanya.
1MDB sebelum ini menulis kepada IPIC memaklumkan kepada syarikat berpangkalan di Abu Dhani itu bayaran berkenaan, yang tarikh akhirnya pada 31 Julai lalu akan dibayar pada Ogos kerana ia menanti dana.
Dilaporkan bayaran itu, berjumlah AS$603 juta (RM2.58 bilion) daripada 1MDB kepada IPIC sebagai sebahagian daripada penyelesaian berhubung pertikaian hutang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA