Sabtu, 12 Ogos 2017

Siasatan LHDN bukan motifkan politik, Johari jawab Dr Mahathir

Sehubungan Johari mencabar mereka yang menuduh LHDN mengambil tindakan kerana politik agar membuktikan dakwaan mereka.
Johari-Abdul_mahathir_lhdn_600
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan dakwaan kononnya siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap 3 anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bermotifkan politik.
Sehubungan itu, Johari mencabar mereka yang menuduh LHDN mengambil tindakan kerana politik agar membuktikan dakwaan mereka.
Sumber-sumber memberitahu FMT sebelum LHDN menyerbu syarikat-syarikat milik 3 anak Dr Mahathir Selasa lalu.
Berikutan serbuan itu, ahli keluarga Dr Mahathir dan pembangkang mengkritik langkah tersebut, dengan mengatakan LHDN telah menjalankan siasatan selektif.
Kelmarin, Dr Mahathir berkata siri serbuan yang dilakukan LHDN terhadap beberapa syarikat melibatkan anaknya menunjukkan kerajaan sanggup menyalah guna kuasa yang ada padanya dengan berlaku berat sebelah.
“Mereka ada hak, boleh buat apa sahaja. Kerajaan ada kuasa untuk disalah guna,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu.
Bekas perdana menteri itu berkata tindakan serupa juga mungkin diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dr Mahathir berkata beliau mengalu-alukan tindakan itu tetapi berharap ia akan dipanjangkan kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya.
Pada hari yang sama syarikat Datuk Mokhzani Mahathir, Kencana Capital Sdn Bhd diserbu LHDN, 2 lagi syarikat yang ada kaitan dengan anak Mahathir turut menjadi sasaran, menurut sumber yang rapat dengan keluarga bekas perdana menteri itu.
FMT difahamkan LHDN turut menyerbu Opcom Holdings Berhad dan Crescent Capital Sdn Bhd.
Opcom merupakan sebuah syarikat ditubuhkan pada November 1994 dan terlibat dalam pendawaian fiber optik. Ia dipengerusikan oleh Mokhzani yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO), sementara Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah salah seorang pemegang sahamnya.
Seorang lagi anak lelaki Dr Mahathir, Mirzan Mahathir, disenaraikan sebagai CEO Crescent Capital, sebuah syarikat pelaburan dan perunding kewangan.
Mengulas lanjut, Johari berkata: “LHDN adalah agensi bebas dan bebas dari pengaruh parti politik.”
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam mengenai ekonomi Malaysia anjuran Universiti Malaysia Sabah di sini semalam, katanya, “ia menyiasat semua orang.”
“Selagi ia mempunyai maklumat lengkap, ia akan menjalankan siasatan. Tiada siapa yang boleh mengarah LHDN menjalankan siasatan. Jika seseorang tidak melakukan apa-apa kesalahan, maka dia tidak perlu risau.
“(Ia) bukan sesuatu yang LHDN hanya dilakukan pada hari ini. Ia telah menyiasat banyak syarikat besar, industri dan gudang setiap tahun. Ia mempunyai program dan prosesnya sendiri,” kata Johari.
Johari berkata walaupun melibatkan syarikat berkaitan kerajaan LHDN tetap akan menjalankan siasatan jika perlu.

“Malah syarikat yang dimiliki oleh kerajaan dan syarikat besar di bursa telah disiasat,” katanya.
“Saya tidak ingat nama mereka dan saya tidak boleh menyebut mereka atau harga saham mereka akan turun. Cukai adalah perkara yang sensitif.”
“Jadi ini tidak berkaitan dengan politik. LHDN mempunyai lembaga pengarah sendiri. Saya tidak fikir mereka juga terlibat dalam politik. Saya dan ahli politik lain tidak duduk dalam lembaga.
“Jika saya sendiri sedang disiasat dan saya tidak melakukan apa-apa yang salah, ia tidak sepatutnya menjadi perhatian saya. Tiada siapa yang boleh memberitahu LHDN apa yang perlu dilakukan kecuali anda boleh membuktikan bahawa ia mahu terlibat dalam politik.”
Peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri mempersoalkan masa serbuan dibuat iaitu pada hari yang sama dengan permulaan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian berbilion ringgit oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 1990-an ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

1 ulasan:

  1. Jika bukan bermotif politik, siasatlah semua ahli politik dan yang berkaitan tanpa mengira latar belakang politik, baru nampak adil.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA