Rabu, 2 Ogos 2017

Shafie berdepan cabaran besar pecah kubu kuat BN di Sabah


Shafie berdepan cabaran besar pecah kubu kuat BN di Sabah
Shafie Apdal dianggap calon utama berkemampuan memecahkan dominasi BN di Sabah. 
PRESIDEN Warisan Shafie Apdal dilihat satu-satunya pemimpin pembangkang yang berpeluang memecah kubu kuat Perdana Menteri Najib Razak di Sabah, tetapi bekas naib presiden Umno yang kini menerajui pembangkang itu mempunyai cabaran besar, kata laporan dikeluarkan Bloomberg hari ini.
Pertikaian secara terbuka, dan kecenderungan untuk bersaing sesame sendiri serta usaha untuk menaikkan partinya yang baru berusia 10 bulan bagi bersemuka dengan kekukuhan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) masih menjadi cabaran terbesar Shafie dalam usahanya merampas kuasa di negeri yang dianggap “deposit tetap” BN itu, kata penganalisis.
Sabah dan negeri jirannya, Sarawak sudah lama menyokong BN dan bertanggungjawab memberikan hampir satu pertiga kerusi Parlimen kepada BN pada pilihan raya umum lalu.
BN mengekalkan kuasanya pada 2013 dengan margin paling tipis pernah diperolehi, dan mungkin kehilangan kuasa jika tidak kerana sumbangan kerusi dari negeri Borneo itu. Dan dalam separuh daripada sumbangan kerusi yang diberikan Sabah, calon yang menang hanya mendapat undi sekitar 50% atau kurang, lapor Bloomberg.
“Pembangkang Malaysia tidak akan berjaya sekiranya gagal di Sabah,” kata Rosman Abin, ketua pemuda Warisan.
“Kita tidak akan menang (di peringkat Persekutuan) tanpa menang di sini.”
Shafie adalah anak saudara bekas ketua menteri Sabah, dan merupakan orang Sabah pertama dilantik menjadi naib presiden Umno sebelum disingkirkan daripada jawatan parti dan Kabinet pada 2015 susulan kritikannya kepada cara Najib menangani skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Shafie memberitahu Bloomberg yang Warisan “sedang mempertimbangkan” untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang.
“Apa sahaja yang perlu dilakukan bagi memastikan BN dikalahkan- ini penting untuk kami,” kata Shafie.
“Perlu ada tolak ansur, tetapi tidak sampai meminggirkan hak rakyat Sabah.”
Penganalisis merasakan peluang Shafie untuk menewaskan BN tipis, memandangkan pakatan pembangkang di negeri itu yang tidak bersatu.
“Sudah pasti BN akan terus berkuasa di Sabah, tiada persoalan (kemenangan BN) disebabkan perpecahan parti pembangkang,” kata Oh Ei Sun, rakyat tempatan Sabah yang merupakan penasihat utama di Pusat Kajian Pasifik untuk Malaysia.

“Semua orang mahu jadi bos, semua orang mahu jadi ketua menteri.”
Kajian dilakukan Merdeka Center yang dilakukan terhadap 905 pengundi berdaftar Sabah diterbitkan Mei lalu pula mendapati hanya separuh daripada jumlah itu tidak berpuas hati dengan BN.
Tetapi, pusat kajian turut menambah yang sukar bagi parti pembangkang menang di negeri itu kerana pengundi juga tidak menyenangi prestasi mereka.
Masalah di Sabah yang mempunyai penduduk seramai 3.8 juta orang termasuklah lambakan pendatang haram, kebimbangan mengenai kuasa autonomi serta pengenalan 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Isu kos sara hidup kekal menjadi isu utama kemarahan rakyat, ketika inflasi di seluruh negara dijangka meningkat sehingga 4% tahun ini berbanding 2.1% pada 2016, lapor Bloomberg.
Pembangkang di Sabah sudah lama menuduh BN memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing untuk mendapatkan undi mereka, dakwaan yang seringkali dinafikan kerajaan.
Kerajaan berkata Jabatan Imigresen menahan sekurang-kurangnya 5,173 pekerja haram di seluruh negara Julai lalu. Dan dalam tempoh setahun sehingga 25 Julai, lebih daripada 125,000 pekerja haram dihantar pulang ke negara asal mereka.
“Tiada kejadian berlaku di mana kami beri IC kepada orang untuk datang dan mengundi Barisan Nasional,” kata Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Anda boleh mohon untuk jadi warganegara, penduduk tetap mengikut peraturan dan undang-undang negara.”
Walaupun tidak berpadu, parti pembangkang Sabah bersetuju dalam satu perkara- yang negeri itu perlu mendapatkan autonomi yang lebih besar.
Yong Teck Lee, ketua Parti Progresif Sabah yang juga pesaing Warisan, berkata rakyat Sabah perlu mengawal semua perkara dalam negeri itu kecuali hal ehwal luar dan pertahanan dan menuduh BN menyekat royalti minyak dan gas hak milik negeri itu.
“Kata kuncinya yang kami guna adalah autonomi untuk Sabah,” kata Yong. “Biar kami tadbir negeri ini dengan cara kami yang terbaik.”
Sentimen itu turut disuarakan Shafie, yang masih menghargai nilai perhubungan dengan kerajaan persekutuan tetapi pada masa yang sama mendesak kuasa autonomi yang lebih diberikan kepada Sabah.
“Apa yang jadi milik Sabah dan rakyat Sabah, kami akan perjuangkan,” katanya.
“Tiada kaitan dengan semangat kenegerian, ia soal perjuangan menuntut hak Sabah.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA