Selasa, 1 Ogos 2017

Serangan peribadi terhadap Dr Mahathir cermin tahap pemikiran Zahid

KEBIASAANNYA apabila berbalah dan mengungkit nama bapa serta keturunan ini adalah di kalangan kanak-kanak ataupun orang biasa.
Ada juga kita bangkitkan soal keturunan untuk memuliakan diri atau keluarga.
Namun soal keturunan atau asal usul ini bagi orang Islam, bukanlah boleh menjadi hujah utama untuk menilai seseorang.
Kebaikan seseorang di sisi agama terletak kepada nilai takwa sementara nilai khidmat dan pengorbanan boleh dijadikan sebagai hujah yang boleh ditonjolkan.
Bagaimanapun kesilapan yang pernah dilakukan seseorang pemimpin boleh juga diungkit untuk diterangkan kepada orang ramai jika ia boleh membawa kepada kebaikan bersama.
Saya tidak menyangka sama sekali seseorang bertaraf timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden Umno boleh mengungkit soal keturunan seseorang.
Sudah tentulah ungkitan soal keturunan ini meletakkan seorang bertaraf timbalan perdana menteri seperti orang kampung, malah tidak keterlaluan saya katakan seperti budak-budak yang bergaduh di dalam bilik darjah.
Mengungkit keturunan sesiapapun termasuk Dr Mahathir Mohamad atau Najib Razak, bukan sikap seorang pemimpin yang baik apatah lagi bagi yang berjawatan seperti timbalan perdana menteri.
Terangkanlah kesilapan di zaman pemerintahan Dr Mahathir, tetapi tidak perlulah sehingga menyerang peribadi dan keturunan.
Begitu juga di pihak pembangkang, kita dedahkan kepada orang ramai isu pengsonglapan wang rakyat seperti skandal 1MDB. Bukan "menumbuk di bawah paras pinggang" seperti dilakukan timbalan perdana menteri.
Apa yang dilakukan beliau ini cukuplah melambangkan tahap pemikiran beliau untuk dinilai oleh rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA