Rabu, 2 Ogos 2017

‘SELEPAS MAHATHIR KUTTY, APA LAGI ZAHID?’


Lantang dan kritikal – Sewaktu berucap berapi-api dalam pehimpunan agung Umno pada suatu waktu terdahulu – ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi inilah ketua pemudanya.
Diam dan berhati-hati – Pada waktu Anwar dua kali diusung ke penjara atas tuduhan kes liwat, Zahid inilah.
Sokongan padu – Sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad ditatang bagai minyak panas yang penuh pada zaman cemerlang 22 tahun lalu, Zahid inilah.
Lie low and low profile: Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menang selesa dalam pilihan raya umum 2004, Zahid inilah.
Sikap membiarkan – Dan, di zaman Abdullah didesak berundur dari kerusinya pun, Zahid inilah.
Buktikan kesetiaan – Bahkan pada era Zahid sedang bergelut untuk dinaikkan menjadi timbalan perdana menteri, Zahid inilah.
Menikam dari belakang – Terkini, setelah perdana menteri kelihatan semakin tercungap-cungap dengan pelbagai bagasi yang penat, yang sedang dipikul olehnya – mengikut kata Dr Mahathir dan Zahid Mat Arip – Zahid inilah.
Dia yang secara sulit menawarkan sebuah perjanjian pakej (package deal) yang… yaa, Zahid inilah.
Ibu garam, punca bala
Terkini, setelah pelan yang diumpan seperti didakwa Dr Mahathir tidak menjadi, Zahid inilah juga yang sedang memusing mata lembing, menghunus sesuatu yang tajam ke dada bekas perdana menteri itu demi membuktikan beliau berdarah “kutty”.
Ia sah non-Melayu, bahkan mamak.
Sekarang, dengan pendedahan Dr Mahathir yang senyata ini (sila baca kepala berita hari ini) masih adakah lagi pilihan Zahid untuk kekal kuat berdiri?
Masihkah Zahid mempunyai masa depan ?
Saya melihat begini.
Kalau ada darah asing barang sesudu sekali pun dalam susuk tubuh Dr Mahathir, itu tidak pernah mengubah fakta yang Malaysia kini terancam.
Dan punca terancamnya kita kini bukan berasal dari tesis ras dan darah keturunan.
Tidakkah ketirisan dan kebocoran mega itu bertolak daripada skandal 1MDB? Inilah ibu garam dan menjadi punca segala bala.
Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak bersukat itulah sedang membawa porak peranda. GST itu pun akibat kesan hiliran daripada 1MDB yang bersifat “scandalous“.
Hingga sekarang ia sedang menjadi lembaga polong yang cukup berpuaka.
Harga minyak di tangki mobil yang tidak menentu mencetuskan pelbagai fenomena inflasi, pengangguran siswazah yang tidak terbendung, pemberhentian kerja penjawat sektor swasta yang memilukan, kehadiran pendatang asing tanpa izin yang menyakitkan hati, kegelisahan rakyat kota dan desa kerana kenaikan harga barang serta penghinaan nama baik negara di mata dunia – ini semua isu yang wajib digarap serta-merta.
Tebus maruah semula

Apa yang dibangkitkan oleh Zahid itu tidak memberi makna apa-apa kepada ekonomi Malaysia yang sedang teruk merudum.
Bagi pihak rakyat di kota dan kampung, saya mohon merayu: tolong hentikan gimik dan angkat cepat polemik sia-sia yang tidak memecahkan beras.
Apa untung menghina Dr Mahathir? Jika katakan benar sekali pun, bak kata orang putih: “so what, and what’s wrong?”
Sementelahlah ia terbukti sebuah fitnah yang telah menghinakan keturunan seorang bekas perdana menteri yang cukup berpengaruh di sini serta seantero dunia.
Cari formula yang lebih magis demi mengangkat dan mengeluarkan negara tercinta ini daripada terus sengsara. Jadikan ini keutamaan.
Selaku timbalan perdana menteri, buktikan kesetiaan dengan membuat pelbagai dapatan yang ajaib.
Bawa “keajaiban” itu ke sini dan ke tengah ini dengan segera demi menghadiahkan sesuatu kepada negara.
Mari bersatu menunaikan amanah – tebus kembali maruah dan kedaulatan kita.
Merdeka Malaysiaku, merdeka !

2 ulasan:

  1. lepas ni zahid puloklah.....zahid pandi kutty....hihihihi

    BalasPadam
  2. Zahid kurang bijak orangnya. Cerdik akal berbeza dengan cerdik ijazah.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA