Ahad, 13 Ogos 2017

SELEPAS INI KESELAMATAN TUN MAHATHIR HARUS JADI KEUTAMAAN

Kekecohan yang berlaku dalam program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam petang tadi, walaupun tidak dihadiri oleh Najib Razak, ia adalah manifestasi ketakutan UMNO dan BN terhadap kehilangan kuasa dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam konteks tersebut, ancaman terbesar yang paling ditakuti sudah tentu ialah Tun Mahathir Mohamad. 

Tun Mahathir, dengan aura dan pengaruhnya yang tersendiri bukan saja ditakuti kerana kemampuannya menarik sokongan rakyat, tetapi juga keupayaannya menukar musuhnya selama ini seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan lain-lain menjadi sahabat untuk sama-sama sehati sejiwa menyingkirkan Najib.
Ketidakhadiran Najib dalam Nothing To Hide 2.0 memang sudah dijangka daripada awal, malah ketika Armada Bersatu mahu menghantar jemputan kepada beliau pun telah dihalang sehingga  berlaku pertembungan dan kekecohan kecil dengan Pemuda UMNO.

Maka, berlakunya kekecohan di Shah Alam petang tadi, apa pun hujah untuk menafikannya, sukar untuk menyisihkan daripada dikaitkan dengan kekecohan ketika menghantar jemputan kepada Najib, kira-kira dua minggu yang lalu.

Setelah menghantar jemputan pun dihalang dengan kekerasan dan meski tanpa kehadiran Najib, kemudian Armada Bersatu tetap ingin meneruskan program Nothing To Hide 2.0 itu dengan Tun Mahathir bersedia menjawab apa saja soalan yang ditanyakan kepadanya, menimbulkan kekecohan adalah pilihan terakhir untuk menggagalkan program tersebut.
Jika program itu berjalan dengan lancar dan sudah tentu, seperti biasa, apabila Tun Mahathir mampu menjawab dengan penjelasan yang baik dan meyakinkan, kelebihan akan berpihak kepada Pakatan Harapan sama ada oleh kalangan mereka yang menghadiri program tersebut ataupun yang menontonnya secara live melalui Facebook.

Dengan mencetuskan kekecohan, semua jawapan dan penjelasan Tun Mahathir akan terpadam dengan sendirinya kerana semua orang akan lebih ghairah bercakap mengenai apa yang berlaku itu.

Kemungkinan kekecohan berlaku sebenarnya dapat dirasai apabila muncul beberapa soalan provokasi yang dikemukakan kepada Tun Mahathir, antaranya berkaitan penyingkiran Anwar pada 1998, mengungkit peristiwa Memali dengan mempersoalkan mengapa Ibrahim Liba dibunuh, bolehkah Anwar yang dikaitkan dengan kesalahan liwat menjadi Perdana Menteri, kenapa seorang Ahli MPT Bersatu, Zahid Md Arip yang disiasat SPRM baru-baru ini masih dikekalkan dan benarkah penentangan Tun Mahathir terhadap UMNO adalah demi cita-cita politik anaknya, Mukhiz.
Soalan-soalan tersebut jelas berbentuk provokatif dan tidak mungkin mereka yang menganggotai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan atau penyokongnya akan bertanyakan soalan sedemikian kepada Tun Mahathir.

Soalan seperti itu, sama ada hanya ditanya oleh ahli dan penyokong UMNO atau oleh mereka yang memang diarahkan berbuat demikian kepada Tun Mahathir.

Di kalangan penyokong Pakatan Harapan, semua perkara tersebut tidak lagi menjadi isu kerana keutamaan  mereka kini ialah untuk sama-sama  mengukuhkan persefahaman bagi memenuhi objektif yang lebih besar iaitu menyingkirkan Najib.

Dalam kekecohan tersebut, dengan banyak kasut, selipar, botol dan kerusi berterbangan dan bom asap dilemparkan secara serentak, sebahagiannya dibaling ke arah pentas,  dengan jelas memperlihatkan kejadian itu bagaikan dirancang sebagai mengiringi soalan-soalan provokatif yang dikemukakan kepada Tun Mahathir.

Terlihat seolah-olah selain untuk menimbulkan kekecohan, huru-hara dan menjadikan program gagal, sasarannya ialah Tun Mahathir sendiri.
Selepas kekecohan di Shah Alam ini, semua pihak dalam Bersatu haruslah lebih memikir dan mengutamakan tentang keselamatan Tun Mahathir. 

Jika kekecohan boleh dicetuskan dalam program Nothing To Hide 2.0, tidak mustahil program-program beliau yang diseterusnya juga bakal diancam dengan kekecohan yang serupa.

Mereka tidak akan berhenti menimbulkan kekecohan dan menakut-nakutkan rakyat lantaran sedar kuasa semakin hampir terlepas daripada genggaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA