Sabtu, 5 Ogos 2017

Selepas berpisah, PAS ambil pendekatan santai depani PRU14


Selepas berpisah, PAS ambil pendekatan santai depani PRU14
PAS kini mengambil pendekatan santai mendekati untuk mendekati pengundi berbeza dengan lawannya, PH dan BN. 
SELEPAS kemelut tercetus susulan perpisahan dengan bekas sekutu politiknya dan tuduhan yang parti Islam utama negara itu sedang beramah mesra dengan musuh lamanya, Umno, PAS kini mengambil pendekatan yang lebih santai sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Akar umbi parti Islam itu dalam diam kembali membina jentera pilihan rayanya selepas kehilangan beberapa pemimpin utama dan berpengalaman yang kini menyertai parti serpihannya, Amanah.
Kerap kali dilaporkan yang penganalisis berpendapat PAS tidak akan mengulangi kejayaan pilihan raya sebelum ini tanpa PKR dan DAP.
Situasi ini menjadi permulaan kepada persediaan ahli parti itu untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tanpa sokongan bekas sekutu politiknya yang kini bergabung membentuk Pakatan Harapan (PH).
Ini  juga bermaksud pengundi bakal melihat pertandingan banyak penjuru, situasi yang menurut penganalisis, lebih banyak memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) berdasarkan rekod pilihan raya lepas.
“Kami akan lawan semua orang, BN atau PH,” kata Ketua Bahagian PAS Shah Alam, Halim Omar apabila ditanya tentang strategi parti itu dalam PRU14.
“Dan mesej kami adalah kami ialah (PAS) pakatan terbaik untuk memerintah negara ini,” kata Halim kepada The Malaysian Insight.
PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP pada 2015, tindakan yang membubarkan Pakatan Rakyat. Pada Mei tahun ini pula, ia menghentikan kerjasama politik berusia 18 tahun- pakatan terlama pernah disertainya- dengan PKR.
Sejak itu, PKR dan DAP berganding bahu untuk membentuk PH, pakatan pembangkang utama negara, yang turut disertai Bersatu dan Amanah.
PAS kini bakal menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang kedua negara dikenali sebagai Gagasan Sejahtera Rakyat (Gagasan), kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Gagasan dijangka bakal disertai Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), yang akan dilancarkan secara rasmi September depan.
Tetapi usaha ini tidak menghalang pengkritik yang menuduh PAS sedang bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.
“Kami komited untuk melawan BN. Kami tak ambil duit Umno,” kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad.
Beberapa pemimpin PAS didakwa menerima wang dari Umno dalam cubaan untuk menarik sokongan parti Islam itu kepada BN, dan laman sesawang Sarawak Report melaporkan yang ia mempunyai bukti pemindahan dana itu. PAS kini sedang menyaman Sarawak Report yang difailkan di London.
Media sosial ganti ceramah
PRU14 akan berlaku dalam masa kurang setahun lagi, dan PAS kini mengalih tumpuan kempen daripada program besar-besaran kepada sesi bertemu pengundi yang lebih kecil skalanya dan bersifat santai serta kempen agresif meraih undi menggunakanmedia sosial.

Pendekatan ini berbeza dengan usaha BN yang cuba menarik minat orang muda melalui pertemuan town hall Transformasi Nasional 2050 (TN50) serta usaha PH untuk membentuk gelombang kebencian rakyat kepada BN melalui program jelajah penerangan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Seorang ahli Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Anas pula lebih cenderung mengadakan program yang lebih santai seperti aktiviti mendaki bukit dan konvoi motorsikal untuk menarik minat orang muda.
Bagi kelompok pengundi berusia pula, parti itu sedang menarik minat mereka melalui ceramah agama diadakan di surai di seluruh Lembah Klang.
“Mesej kami adalah politik matang dan sejahtera. Kami mahu ganti BN dan membentuk negara Islam,” kata Anas yang enggan memberikan nama penuhnya.
Aktivis PAS Kedah, Helmi Khalid pula berkata parti itu sudah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
Negeri utara itu ialah salah satu daripada negeri yang PAS mahu takluk. Empat yang lain ialah Selangor, Terengganu, Kelantan dan Perak.
“Punca kami dilihat tidak agresif adalah kerana kami tak banyak duit. Kami simpan duit kami untuk digunakan bila (kempen) pilihan raya secara rasminya diadakan. Bila ia berlaku, kami akan berusaha bersungguh-sungguh.”
Satu lagi sebab kepada pendekatan santai ini adalah majoriti kempen sedang berlaku melalui media sosial, kata Helmi.
“Pertama sebab ia murah, kedua sebab ia boleh dilakukan setiap hari. Tak seperti ceramah, mesej itu berterusan.”
Semua yang ditemubual percaya yang PAS dan Gagasan boleh menandingi PH, walaupun pakatan pembangkang itu kini mempunyai tokoh politik terkenal tanah air termasuk bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Saya percaya jika pengundi membandingkan kami dengan BN dan PH, kami ada rekod pencapaian yang lebih baik, terutama sekali dalam mentadbir Kelantan sejak dua dekad lalu,” kata Halim dari PAS Shah Alam.
Tetapi pengkritik lantang yang masih berada dalam PAS, Mahfuz Omar menafikan usaha ini merupakan satu strategi.
“Mereka tak buat sesuatu yang berbeza pun dengan apa yang sepatutnya kita buat masa pilihan raya atau tiada pilihan raya. Program ini rutin,” kata Mahfuz ketika dihubungi.
“PAS tidak ada mesej jelas yang mereka boleh menyebabkan mereka memenangi (undi) rakyat dalam pilihan raya akan datang.”

4 ulasan:

  1. Pas dh buat kputusan bgerak sendiri. Nasihat aku jgn dilawa lg parti yg msuk pru xnk menang. Tp mesra ameno. 90J dlm tangan. Byk yg boleh dgunakn dgn duit tu utk geng2 dia. Maaf kata, yg bwh kekal menongok, yg atas hidup dgn keta baru, bini baru, mcm2 baru...pastu nk byr saman, menagih duit kat bwh jugak...
    Kita byk keje lg nk buat, abaikan Pas....

    BalasPadam
  2. Pas lebai tak berkemampuan perintah negara. Full stop. Perintah kelantan pun tak ada kemajuan. Itu sebab org kedah dan tganu reject lepas cuma satu penggal

    BalasPadam
  3. Halim kata pas ada rekod pencapaian yang lebih baik, terutama sekali dalam mentadbir Kelantan sejak dua dekad. Ha ha, rekod apa daa? Kelantan tiada kemajuan. Highway tiada, jem memanjang bila musim perayaan, masalah air dan sampah masih tak berubah. Stadium masih kekal satu, jalan raya sempit dan berlubang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tebang balak sampai licin...yg tinggal ....hampeh....penghujungnya

      Padam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA