Khamis, 3 Ogos 2017

SELEPAS AMERIKA SYARIKAT, ADAKAH PERANCIS JUGA BERKONSPIRASI MAHU JATUHKAN NAJIB?

Ketika Amerika Syarikat melalui Jabatan Kehakimannya atau DOJ memulakan saman sivil untuk merampas aset-aset kepunyaan Jho Low dan Riza Aziz yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang diselewengkan, antara hujah pembelaan golongan macai dan pencacai  ialah ia merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Najib Razak.

Mereka cuba memperbodohkan orangramai dengan mempersoalkan bagaimana saman itu boleh dilakukan sedangkan 1MDB tidak pernah melaporkan kehilangan wangnya dan DOJ pula tidak pernah meminta sebarang bantuan Peguam Negara Malaysia untuk tindakan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, didendangnya juga kononnya DOJ turut dibayar jutaan ringgit oleh Tun Mahathir Mohamad dan Dr. Puad Zarkashi yang mengetuai JASA, walaupun bergelar Dr, tetapi seperti hilang kecerdikan dengan mengatakan saman itu sendiri mungkin dikarang oleh seseorang daripada negara kita.

Pokoknya, dalam zaman "cash is king" ini, mereka lebih percaya segala usaha pihak luar yang dilihat mencemar negara  dan melibatkan kaum kerabat Seri Perdana adalah percubaan untuk menjatuhkan Najib semata-mata.

Najib, yang terbukti mempunyai beribu-ribu juta ringgit dalam akaun peribadinya, tetaplah di hati mereka seorang pemimpin yang suci bersih dan tidak berdosa apa-apa.
Kini, selain Amerika Syarikat, menyusul pula Perancis memulakan tindakan pendakwaan terhadap Abdul Razak Baginda, seorang yang pernah menjadi sekutu rapat Najib berkaitan pembelian kapal selam Scorpene pada 2002 dahulu.

Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon telah mengesahkan bahawa Abdul Razak Baginda telah didakwa (indicted) di Paris pada 18 Julai lalu atas dakwaan sogokan berhubung penjualan kapal selam kepada Malaysia.
Bourdon, peguam yang mengendalikan kes Scorpene di Paris, berkata laporan berita mengenai pendakwaan itu sebagai tidak mengelirukan dan menambah, "Abdul Razak harus memberi respon terhadap pendakwaan setebal 11 mukasurat itu."

Katanya, beliau boleh mengesahkan bahawa Abdul Razak telah didakwa kerana terlibat dalam rasuah aktif dan pasif di Perancis.
Apa yang nyata, belum pun kes 1MDB di Amerika Syarikat memulakan bicaranya, timbul pula pendakwaan di Perancis.
Kes di Perancis itu tentu saja turut memeningkan kepala Najib kerana ia berlaku ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan dahulu yang daripada pembelian kapal selam itulah juga berlakunya pembunuhan Altantuya Sharibu.
Di tahun-tahun awal kes itu meletus dahulu, Najib memang dikaitkan dengannya, bukan saja berkaitkan wang sogokan, bahkan juga didakwa mempunyai hubungan dengan Altantuya sehingga memaksa beliau bersumpah di masjid di Permatang Pauh untuk menafikannya.
Adakah di mata macai dan pencacai, selepas saman sivil di Amerika Syarikat, pendakwaan terhadap Abdul Razak inimerupakan konspirasi Perancis pula untuk menjatuhkan Najib?
Siapa pula agaknya yang akan dikata membayar kepada pihak pendakwa dan tolong mengarang kertas pendakwaan di Perancis kali ini?
Yang pasti, sebagaimana Amerika Syarikat tidak lagi dikunjungi setelah adanya saman DOJ, Perancis pasti akan menyusul sebagai satu lagi negara yang dijauhi untuk dilawati dan bercuti oleh Najib dan keluarganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA