Ahad, 6 Ogos 2017

Relevansi dan evolusi institusi Raja Berpelembagaan sebagai semak dan imbang


 
Menerusi Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat yang dirasmikan Sultan Perak Raja Nazrin Muizzuddin Shah pada Sabtu, telah menekankan peri pentingnya relevansi dan evolusi pada institusi Raja berpelembagaan.
Institusi Raja yang telah berakar umbi lebih enam abad mempunyai landasan sejarah dan tradisi tersendiri setelah Tanah Melayu yang merdeka memilih untuk memeterai sistem pemerintahan beraja dalam bentuk acuan kontemperori bukan lagi feudal.
Sultan Nazrin Shah 2Ini membawa maksud raja berpelembagaan itu ditafsirkan sebagai raja yang mempunyai hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan; hak untuk memberi galakan dan dorongan; dah hak untuk memberi peringatan dan teguran.
"Raja yang arif tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak ini berjaya dikendalikan secara bijaksana dan berhemah.
"Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab Raja Pemerintah memperlihatkan kepada warga akan relevansi institusi Raja terutama untuk memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan yang berpaksikan sistem raja berperlembagaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen," titah Sultan Nazrin.
Titah Sultan Nazrin lagi, pemahaman rakyat terhadap institusi Raja bagaikan berada di dua penghujung, dikalangan yang menghargai relevannya, ada yang kabur akan peranannya.
"Demi memastikan imej dan peranan takhta terus kekal dinamik serta berdaya menangai tuntutan semasa, terutama dalam memenuhi mekanisma semak dan imbang, serta sebagai payung kesatuan dalam kepelbagaian, institusi Raja telah berulang kali dipohon, melandaskan paksi baharu serta melakarkan ruang peranan yang lebih relevan dalam era yang semakin berubah
"Takhta ketika ini berhadapan cabaran lebih kompleks dan perlu menyempurnakan cabaran lebih mencabar dalam orbit moden Malaysia.Berhadapan komposisi warga muda yang bertambah meningkat serta memiliki kepelbagaian idelaisme disamping terdedah kepada pengaruh globalisasi," titah Sultan Nazrin.
Mendalami intipati sebahagian ucapan Raja Nazrin ini, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid  (Gambar kiri) berpandangan, dalam sebuah negara berperlembagaan jika Raja-raja tidak diletakkan dikedudukan yang tidak tepat ia akan tidak lagi relevan kepada rakyat.
"Untuk institusi Raja kekal relevan ia amat memerlukan satu pasukan sokongan yang sanggup memberi nasihat secara benar dan ikhlas bukannya 'rubberstamp'.
"Banyak penasihat yang mempunyai kepentingan sendiri maka nasihat mereka itu bertentangan dan tidak tepat dengan apa yang dikehendaki Raja-raja.
"Evolusi terhadap institusi Raja bukanlah secara drastik kerana ia tidak akan mengikut perkembangan evolusi institusi itu secara baik. Kita tidak mahu institusi Raja ini menjadi sebahagian rakyat tanpa kawalan kerana mengikut peredaran masa.
"Amat perlu juga Raja mempunyai 'privasi' untuk mengekalkan hubungan antara Raja dan rakyat supaya institusi ini tetap dipandang tinggi oleh rakyat.

"Ini kerana Raja mempunyai etika yang mengawal kedaulatan raja dan tidak wajar seorang Raja menjadi bahan serangan pihak berkepentingan,"ujarnya.
Zainul Rijal Abu BakarPresiden Majlis Peguam Muslim Datuk Zainul Rijal Abu Bakar  (Gambar kiri) pula berpandangan, institusi Raja dari dahulu hingga kini masih kekal relevan iaitu memayungi rakyat.
"Khususnya dalam bidang agama, kepentingan bahasa Melayu dan kepentingan orang Melayu tanpa mengenepikan kepentingan bukan Melayu.
"Susur galur institusi raja ini perlu dimartabatkan kerana ada sebahagian masyarakat terlupa mengenai institusi raja. Jika kita menjunjung perlembagaan sebagai perundangan tertinggi insitusi raja adalah sebahagian yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
"Evolusinya kini rakyat lebih hampir dengan institusi raja mungkin dulu sistem tata atur masyarakat Melayu terpisah dengan Raja-raja yang hanya bersemayam dalam istana mengasingkan diri daripada rakyat jelata.
"Kini masa berubah dengan perkembangan teknologi Raja dengan mudah boleh berkomunikasi secara terus dan pendekatan terhadap rakyat juga sudah berbeza," ujarnya.
Zainul Rijal juga menekankan dalam melalui evolusi institusi raja, raja-raja perlu bersifat neutral.
"Raja perlu bersikap neutral dan tidak diwarnakan dengan mana-mana pihak atau mana-mana parti politik. Ini kerana peranan 'Raja' itu sendiri memayungi semua rakyat jelata.
"Dalam isu tertentu Raja seharusnya mengambil pendekatan tidak memihak tetapi dalam isu keadilan dan undang-undang yang memberi impak kepada umat dan rakyat raja perlu ambil peranan membuat satu ketetapan yang memihak kepada rakyat dan institusi tetapi bukan kepada mana-mana parti," ujarnya.
Abu Zahar UjangBagi pandangan  Pengerusi Kumpulan Kerja Dailog Politik MDN, Tan Sri Abu Zahar Ujang  (gambar kiri) apa yang dititahkan Raja Nazrin adalah tepat memandangkan peredaran masa kini yang amat memerlukan institusi Raja untuk terus kekal relevan.
"Apa yang dititahkan melambangkan pandangan ikhlas untuk rakyat negara ini. Bagaimana kita patut urustadbir rakyat negara ini dalam peruntukkan dan kepentingan Raja Berpelembagaan.
"Raja Berpelembagaan - demokrasi berparlimen yang mana kerajaan dipilih oleh rakyat. Komposisi yang diPertuan Agong sebagai ketua pemerintah berkuasa ke atas dewan negara dan dewan rakyat, manakala kedudukan YDP Agong masih berkuasa ke atas badan eksekutif dan legistratif.
"YDP Agong boleh menerima konsep itu (dinasihati oleh kuasa eksekutif) tidak bermakna terima keseluruhannya.Jika baik perlulah dipatuhi jka tidak kenalah Raja-raja tidak menyokong.
"Ini kerana kedudukan raja itu masih lagi relevan dalam sistem demokrasi berparlimen," ujarnya.
Kesimpulannya seperti titah Sultan Nazrin tempoh masa selama 60 tahun kemerdekaan negara, memenuhi peranan raja berperlembagaan, iaitu Raja bukan sekadar simbol untuk melaksanakan tugas-tugas kerajaan semata-mata.
"Segala yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran Raja-raja. Pandangan berterus terang Raja-raja dalam perkara berkaitan agama Islam,Bahasa Kebangsaan, perpaduan warga, kebebasan kehakiman, rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai lagi tercetus daripda hasrat untuk memastikan negara terus stabil dan aman, warga terus sejahtera dan makmur," titahnya.
Resolusi konvensyen yang diadakan selama dua hari  akan dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembentangan Tan Sri Dr Nordin Kardi petang ini, sebelum diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia.
Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat dianjurkan secara bersama oleh Panel Perunding Perpaduan Umnah (MDN).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA