Jumaat, 4 Ogos 2017

Raus angkat sumpah sebagai ketua hakim malam ini ..


Raus angkat sumpah sebagai ketua hakim malam ini
Raus dilantik Pejabat Perdana Menteri sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 7 Julai lalu. 
RAUS Sharif dijangka akan mengangkat sumpah malam ini sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan dan kekal sebagai Ketua Hakim, menurut laporan.
Majlis angkat sumpah akan diadakan malam ini jam 10 malam di Istana Negara, menurut kenyataan media yang disiarkan beberapa media lain.
Raus mencapai tempoh bersara semalam, selepas dia mencapai umur 66 tahun dan enam bulan, yang merupakan had umur sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan tempoh lanjutannya adalah tiga tahun bermula hari ini.
Majlis angkat sumpahnya malam ini dibuat sehari selepas Majlis Peguam memutuskan untuk mengadakan mesyuarat tergempar untuk menyatakan usul tidak percaya berhubung lanjutan tempoh perkhidmatan Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinuddin. Majlis Peguam juga mahu mengambil tindakan undang-undang di mahkamah.
Raus dan Zulkefli dilantik Pejabat Perdana Menteri sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 7 Julai, yang melanjutkan perkhidmatan masing-masing tiga dan dua tahun. Zulkefli sepatutnya bersara pada 27 September.
Pelantikan itu menimbulkan kontroversi dan bantahan daripada gabungan pengamal undang-undang kerana tidak berperlembagaan. Pemimpin pembangkang juga menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk campur tangan bagi menghalang pelantikan Raus dan Zulkefli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA