Rabu, 9 Ogos 2017

Rafizi tawar diri kumpul maklumat mengenai Najib untuk SPRM

Naib presiden PKR itu menyahut gesaan SPRM menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat agar melaporkan penjawat awam yang hidup mewah melampaui pendapatan mereka.
rafizi-ramli_sprm_600new
PETALING JAYA: Rafizi Ramli hari ini berkata beliau sendiri akan mengumpul maklumat mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat penjawat awam yang hidup mewah melampaui pendapatan mereka.
Naib Presiden PKR itu berkata perkara itu demikian sebagai menyahut gesaan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Azam Baki menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat agar melaporkan penjawat awam sedemikian yang lazimnya terlibat “salah guna kuasa dan rasuah serta mempunyai jawatan tertentu dalam kerajaan”.
“Saya sendiri akan mengambil tanggungjawab untuk mula mengumpul bukti-bukti kekayaan dan gaya hidup yang terlampau mewah yang telah dipamerkan oleh Najib dan keluarga beliau,” kata Rafizi dalam kenyataan hari ini.
“Ini lebih mudah kerana banyak siasatan telah dibuat berhubung dana 1MDB oleh pelbagai pihak berkuasa di dunia dan maklumat-maklumat ini boleh digunakan sebagai bukti bagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya menjalani kehidupan yang terlampau mewah yang tidak padan dengan pendapatan beliau sebagai penjawat awam.”
Semalam, Azam memberitahu Bernama News Channel yang SPRM kini membuat “pemantauan teliti” terhadap penjawat awam berjawatan tinggi termasuk melihat perolehan harta mereka.
Dalam kenyataan terdahulu, SPRM berkata sebanyak 665 kertas siasatan dibuka sepanjang 2016 hingga Februari tahun ini melibatkan penjawat awam. Daripada jumlah tersebut, seramai 548 penjawat awam ditangkap dan 63 kes dituduh di mahkamah.
Azam ketika itu menjelaskan penjawat awam berpangkat tinggi melakukan rasuah bukan atas sebab desakan hidup.
“Dalam keadaan ini apabila seorang diberi kuasa, dia mudah terjebak dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Kalau tidak ada duit, orang tidak akan melakukan rasuah, mereka akan melakukan jenayah lain seperti merompak, jual dadah dan sebagainya,” katanya.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) sudah memfailkan 2 samaan sitaan terhadap aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) yang didakwa dibeli dengan dana yang dicuri dari 1MDB.
Saman itu merupakan tindakan undang-undang terbesar yang dilakukan dibawah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi. Saman pertama difailkan pada Julai tahun lepas manakala saman kedua difailkan pada Jun tahun ini, di mana seorang individu yang digelar sebagai “Malaysian Official 1” disebut dalam kedua-dua saman itu.
Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku, dan tahun lalu, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan nama perdana menteri daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB.

1 ulasan:

  1. Jgn harap SPRM akan ambil tindakan keatas najib atau mana2 menteri lain walau pun bukti bertimbun. Ikan bilis saja. Atau pun pembangkang mcm LGE

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA