Rabu, 9 Ogos 2017

PKR dakwa ada 'pengundi hantu' di Wangsa Maju

Bendahari Agung Bendahari Agung PKR, Datin Paduka Tan Yee Kew memberi amaran cubaan untuk membawa masuk pengundi ke kawasan parlimen Wangsa Maju walaupun mereka tidak tinggal di situ merupakan suatu kesalahan jenayah.
Beliau memberitahu kawasan mengundi didapatkan berdasarkan alamat di dalam kad pengenalan dan sesetengah pengundi menukar alamat kad pengenalannya bagi membolehkan mereka mengundi di situ walaupun mereka bukan pemastautin.
"Jika seseorang itu tidak tinggal atau tidak pernah menetap di alamat Mykadnya, bermaksud mereka memberikan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara," kata beliau dalam sebuah kenyataan hari ini.
Awal hari ini, para penyokong Tan membuat laporan polis terhadap kira-kira 240 "pengundi hantu" yang didakwa beliau menggunakan alamat palsu bagi mendaftar sebagai pengundi di Wangsa Maju.
Tan turut mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 4,000 pengundi sedemikian di seluruh kawasan parlimen tersebut.
"Beberapa hari lalu, ketua Umno Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berkata dua buah kerusi parlimen yang BN sasarkan untuk dimenangi adalah Wangsa Maju dan Lembah Pantai.
"Kami mahu bertanya jika keyakinan Umno untuk menang di Wangsa Maju kerana 4,000 pengundi hantu yang diletakkan di kawasan parlimen ini?" Kata beliau.
Tan mengingatkan memberikan alamat palsu dalam kad pengenalan merupakan kesalahan di bawah Peraturan 25 (fa) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Tambah beliau lagi, ia juga merupakan kesalahan di bawah Seksyen 177 Kanun Keseksaan atas sebab memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam, yang boleh dihukum sehingga enam bulan penjara atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA