Khamis, 3 Ogos 2017

PH mampu hapus GST dengan cukai jualan, kurangkan faedah hutang kerajaan


Hasrat Pakatan Harapan untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya boleh dilaksanakan dengan kembali kepada regim cukai lama (SST) dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menjelaskan, kehilangan hasil GST juga boleh ditampung dengan mengurangkan bayaran faedah hutang kerajaan yang kini berjumlah RM680 bilion.
"Sebelum GST dilaksanakan kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah  RM22 bilion. Ini bermakna kita hanya perlukan tambahan RM18 bilion (untuk menampung kehilangan hasil GST).
"Jika kita mansuhkan GST dan kembali kepada cukai jualan dan perkhidmatan yang hanya mengutip cukai di kilang dan perkhidmatan tertentu, ia tidak akan membebankan rakyat, yang mana rakyat tidak rasa (beban kos)," ujarnya dalam paparan video oleh Media Oren.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu lagi, tambahan hasil RM18 bilion itu boleh diperolehi melalui pengurangan perbelanjaan yang tidak perlu dan pembaziran yang diamalkan kerajaan BN selama ini.
"Apa yang kita nak tutup boleh datang daripada dua tiga benda yang mudah. Pertamanya semua tahu tentang pembaziran jika kita tidak berjaya mencapai penjimatan 20% dalam tahun pertama Pakatan Harapan mansuhkan GST mungkin berjaya 10% contohnya, itu pun sudah dapat menjimatkan RM12 bilion.
"Jadi kita tinggal RM6 bilion lagi daripada RM18 bilion yang kita kena cari. Itu boleh dicari dengan mudah dengan mengurangkan bayaran faedah hutang," ujarnya.
Menurut Rafizi, kadar faedah yang dikenakan terhadap hutang negara adalah tinggi iaitu 4% ekoran krisis keyakinan pelabur terhadap negara antaranya akibat skandal  1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kadar faedah hutang negara di era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, ujar beliau adalah lebih rendah iaitu 2%.
"Bila kerajaan itu jujur dan amanah kadar hutang itu boleh mungkin dari 4% kepada 3% walaupun dilihat berlaku penjimatan 1% ia membawa pengurangan (kos faedah) sebanyak RM6 bilion.
"Bag saya ia tiada masalah (hapus GST) untuk mencapainya dan diganti dengan sumber kewangan kerajaan," ujarnya.
Pada Julai lalu, Pakatan Harapan mengumumkan Dasar 100 Hari selepas mengambil alih Putrajaya yang antara lainmenghapuskan GST.
Bagaimanapun ia diperdebatkan oleh pemimpin BN yang beranggapan ia hanya omongan kosong Pakatan Harapan bagi menarik sokongan pengundi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA