Ahad, 20 Ogos 2017

Perumahan Awam: Bangunkan sendiri bukan serah kepada swasta


AMANAH Wilayah Persekutuan menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membangunkan sendiri Perumahan Awam (PA) di lot tanah rizab sedia ada bagi mengelak harga unit baharu yang ditawarkan melambung di luar kemampuan warga kota.
Pengerusinya, Dr Hatta Ramli berkata, tanah-tanah PA sedia ada disaran dijadikan bank hartanah yang dibangunkan pihak DBKL bukannya diserah kepada pemaju swasta.
Konvensyen Amanah Dr Hatta RamliMenurutnya, projek pembangunan semula PA difahamkan akan berserta komponen komersial dengan meruntuhkan struktur yang pada masa ini didiami penghuni yang majoritinya adalah menyewa.
"Saya dimaklumkan bagi yang telah menjadi tuan punya di rumah PA dulu, mereka dapat unit percuma. Tiga bilik tidur dengan keluasan 800 kaki persegi.
"Tapi kebanyakan yang ada di perumahan awam pada masa ini adalah penyewa. Ada yang menyewa lebih 30 tahun dan hampir 40 tahun kerana DBKL konsepnya adalah menyewa tidak jual.
"Mereka ini akan diberi unit yang diberi pada harga diskaun," ujarnya pada sidang media sempena Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan di ibu negara hari ini.
Bulan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilapor memberitahu terdapat 45,000 unit rumah yang disewakan di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

Sehubungan itu, Dr Hatta khuatir jika harga kediaman bagi segmen komersial yang ditawarkan terlalu tinggi memandangkan pembangunan semula PA akan dilakukan pihak swasta.
"Tanah-tanah perumahan awam sedia ada akan diberi kepada syarikat swasta untuk dibangunkan. Tentulah ada komponen keuntungannya maka harga rumah (walaupun) mampu milik tetapi terlalu mahal.

"Oleh sebab mahu menampung rumah-rumah yang diberi percuma dan subsidi tadi, rumah yang komersial tadi (dijual) mahal," ujarnya.
Pembangunan semula PA oleh DBKL, jelasnya, dijangka akan membolehkan unit baharu yang dibina dapat dijual pada harga yang benar-benar mampu dibeli termasuk golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
"Kita menganggarkan DBKL boleh jual rumah pada harga yang benar-benar mampu beli RM100,000 berbanding RM200,000 seunit (jika dibina oleh swasta).
"Bagi B40, ia akan jadi mampu tengok saja tidak mampu beli," tambah Dr Hatta lagi.
Untuk rekod, kadar sewa unit PA pada masa ini adalah RM94 bagi satu bilik, RM124 (dua dan tiga bilik) serta RM218 bagi unit tiga bilik yang telah diubahsuai.
Secara keseluruhannya, terdapat 71 kawasan PA dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Wilayah Kuala Lumpur yang merangkumi 11 kawasan Parlimen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA