Ahad, 6 Ogos 2017

Pengarah di 20 agensi: Sejauh mana efektif KSU Perbendaharaan?

Kedudukan sebagai pengarah di 20 agensi menimbulkan banyak persoalan, termasuk sama ada Irwan dapat memainkan peranan yang pelbagai dengan berkesan.
Irwan-Siregar-dapKementerian Kewangan baru-baru ini mengesahkan ketua setiausahanya Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah merupakan pengarah di sekurang-kurangnya 20 entiti kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ini menimbulkan banyak persoalan, termasuk sama ada Irwan dapat memainkan peranan yang pelbagai dengan berkesan.
Satu lagi isu yang dibangkitkan, antaranya Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengemukakan soalan kepada kementerian kewangan di Dewan Rakyat minggu lalu, berapa banyak yang dibayar kepada Irwan.
Menurut pegawai tinggi peringkat dalam GLC, yang bercakap dengan FMT dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, seorang pengarah bukan eksekutif biasanya tidak menerima gaji tetap.
Bagaimanapun, mereka menerima ganjaran dan elaun untuk antara lain kerana mesyuarat mereka sertai, yang biasanya berlangsung setiap 2 atau 3 bulan, kata pegawai itu.
Kementerian kewangan tidak mendedahkan jumlah yang dibayar kepada Irwan, tetapi mengatakan pembayaran itu “selaras dengan tanggungjawab dan risiko yang dilakukan” oleh beliau sebagai pengarah.
Kok bagaimanapun memberitahu FMT beberapa GLC menyediakan elaun mesyuarat sehingga RM3,000 bagi setiap kehadiran.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, sebaliknya berkata, Irwan dengan sendiri yang harus mendedahkan jumlah beliau terima selaku pengarah di pelbagai agensi.
Walaupun pada prinsipnya, “jika kedudukannya sebagai ketua setiausaha perbendaharaan memerlukan beliau duduk di Lembaga GLC, beliau tidak boleh menerima bayaran daripada syarikat terbabit,” kata Pua kepada FMT.
Walaupun kebanyakan orang tidak mempunyai isu dengan soal kemahiran melakukan pelbagai tugas, ada yang mengatakan keadaan itu akan membebankan seseorang yang memikul begitu banyak tanggungjawab.
“Bagaimanakah seseorang boleh memegang banyak jawatan pengarah? Menjadi ketua setiausaha di kementerian dengan sendiri sudah sibuk. Jadi bagaimana dia boleh memainkan peranan pengarahnya dengan berkesan dalam banyak GLC?” soal Kok.
Tan Sri Ramon Navaratnam yang pernah berkhidmat di Perbendaharaan selama hampir 30 tahun menyatakan pandangan yang sama.
Beliau berkata 20 pengarah adalah “terlalu banyak” dan ia akhirnya boleh menjejaskan keupayaan Irwan untuk menghabiskan masa yang berkualiti dan memberikan perhatian yang cukup ke atas isu-isu yang dibawa kepadanya.

“Perlu ada batasan dikenakan untuk seseorang seperti ketua setiausaha kementerian kewangan, yang terlibat sepenuhnya dalam semua perkara pihak kerajaan yang mempunyai implikasi kewangan dan ekonomi.
“Ini bermakna keseluruhan sistem (yang ada),” katanya kepada FMT.
Irwan dilantik sebagai pengerusi 1MDB pada May 2016. Setahun kemudian beliau dilantik sebagai ketua Bandar Malaysia Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd.
Selain itu, Irwan juga merupakan pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Beliau juga ahli lembaga pengrah Petronas, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Haji, Bank Negara Malaysia dan Malaysian Airline System Berhad (MAS).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA