Selasa, 1 Ogos 2017

Penduduk Sekinchan jadi ‘tuan rumah’ ribuan orang luar dalam daftar pemilih....


Penduduk Sekinchan jadi ‘tuan rumah’ ribuan orang luar
Menurut data daftar pemilih SPR, 16,247 pengundi di Sekinchan terdiri daripada 56% Cina, Melayu (42%) dan India (2%).
“TAK, tak, tak. Semua ini nama pelik,” kata Nur Sida, seorang pesara selepas ditunjukkan senarai 358 yang kononnya adalah jiran di kampungnya di Rizab Sarbini, sebuah kampung di jalan agak terpencil dengan hanya ada sembilan rumah.
Suri rumah berusia 55 tahun itu menetap di Sungai Labu sejak empat dekad lalu, kawasan tanah rizab Melayu di bahagian pantai bandar Sekinchan, Selangor.
Menurut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu, ia juga alamat kediaman bagi pendaftar berdaftar baharu, ada yang sejauh dari Sabah.
Sesetengah rumah mempunyai nama Cina dan India, di mana penduduk berkata perkara itu mustahil kerana tanah rizab Melayu hanya boleh dijual pada Bumiputera.
“Mereka orang luar. Mereka langsung tidak ada kaitan dengan tanah ini,” kata Samsudin Abdullah, ketua kampung sebelah, Kampung Tali Aur 8.
“Kami tidak suka orang yang datang sini hanya sekali, pada hari mengundi dan kemudian mereka mempengaruhi pentadbiran kawasan kami. Kami tak suka,” kata petani berusia 50 tahun itu.
Kampung Tali Aur 8 menyaksikan 419 pengundi baharu yang berdaftar dalam draf tambahan daftar pemilih bagi suku pertama tahun ini.
SPR kemudian memansuhkan kebanyakan pengundi baharu itu susulan bantahan Adun Sekinchan daripada DAP Ng Suee Lim.
Menurut data daftar pemilih SPR, 16,247 pengundi di Sekinchan terdiri daripada 56% Cina, Melayu (42%) dan India (2%). Majoriti masyarakat Melayu di situ terdiri daripada orang Jawa dan Banjar.
SPR kini mengelaskan data demografi. Mana-mana orang dalam daftar pemilih sesebuah kawasan boleh mempertikaikan kesahihan pengundi baharu.
Pembantah hanya dibenarkan membantah sekali dan tidak lebih 20 pengundi baharu. Setiap bantahan tertakluk kepada yuran RM10 dan perlu didatangkan dengan bukti yang pengundi baharu itu bukan penduduk sah kawasan berkenaan.
“Banyak masa saya terbuang. Setiap kali, saya menghabiskan 100 jam kerja dan perlukan sekurang-kurangnya 50 penyokong untuk bantu saya buat bantahan terhadap senarai baharu setiap tiga bulan,” kata Ng.

Ng yang memegang kerusi Sekinchan sejak 2004 mula membuat bantahan sejak suku keempat 2016, ketika beliau menahan 1,191 pengundi baharu termasuk 358 yang baru berdaftar di Rizab Sarbini.
“Ada tujuh nama Orang Asli dalam senarai itu,” kata Ahzaman Mat Noor, 52, ketua kampung di Kampung Tali Air 7.
“Kami tidak bantah pengundi mendaftar. Kami tidak boleh benarkan orang luar tentukan masa depan kami,” kata bekas nelayan itu.
Chia, pemborong ikan jenahak yang menetap di Sekinchan sejak 40 tahun lalu, menyalahkan Umno atas dakwaan peningkatan jumlah pengundi itu.
“Apa yang mereka buat ini rasis. Mereka cuba menambah jumlah penyokong di kawasan majoriti Cina.
“Orang macam saya jadi minoriti di kawasan kami sendiri,” katanya yang juga ahli Gerakan.

1 ulasan:

  1. Umno/bn tak ada cara lain utk menang kecuali TIPU

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA