Isnin, 7 Ogos 2017

Pemuda Amanah beri SPRM 3 hari mula siasat kekayaan Zahid


Pemuda Amanah beri SPRM 3 hari mula siasat kekayaan Zahid
Shazni Munir berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, beliau akan mengumpulkan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan kumpulan anak muda ke pejabat SPRM.
PEMUDA Amanah memberikan tempoh 3 hari untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kekayaan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi seperti yang didakwa Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, beliau akan mengumpulkan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan kumpulan anak muda ke pejabat SPRM.
“Jika SPRM gagal memulakan siasatan ke atas timbalan perdana menteri dalam tempoh tersebut, Pemuda Amanah beserta rakan-rakan Pemuda PH dan anak-anak muda pelbagai latar belakang organisasi akan ke Pejabat SPRM di Putrajaya untuk mendapatkan masa dan tarikh bila kertas siasatan ke atas Zahid akan dimulakan,” kata Shazni kepada The Malaysian Insight.
Shazni sebelum ini pernah ditahan polis dan didakwa di mahkamah kerana mengunci pagar pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Shazni berkata, tempoh tiga hari diberikannya hari ini sudah lebih daripada cukup untuk SPRM bagi memulakan tindakan.
“Memahami bahawa SPRM mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyediakan kertas siasatan kes, Pemuda Amanah memberikan tempoh selama 3 hari untuk SPRM memulakan siasatan ke atas Zahid Hamidi,” katanya.
Minggu lalu Dr Mahathir mengingatkan Zahid mengenai aset RM230 juta yang dimilikinya ketika memegang jawatan ketua Pemuda Umno.
“Apabila saya tanya dari mana ia perolehi 230 juta ringgit yang ada dalam akaunnya, jawapannya kurang jelas.
“Jikalau ia boleh ingat, jelaslah dari mana ia perolehi wang yang begitu banyak,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam posting di blognya chedet.cc.

Bagaimanapun dalam ucapannya semasa merasmikan persidangan Umno Bahagian Baling Zahid berkata beliau sedia disiasat SPRM.
Pada masa sama, Zahid turut meminta SPRM menyiasat harta Dr Mahathir dan kekayaan ahli keluarganya.
Zahid menjelaskan tidak ada salahnya kalau betul sekali pun beliau pernah ada wang tunai sebanyak itu kerana pada ketika itu beliau seorang ahli perniagaan.
“Saya seorang ahli perniagaan pada ketika itu. Saya diberi peluang untuk menjadi CEO sebuah syarikat yang tersenarai. Saya jadi pengerusi tiga lagi syarikat yang tersenarai.
“Kalau betul pun saya ada harta sebanyak itu, saya tidak salah untuk berniaga kerana saya bukan pegang jawatan atau anggota pentadbiran dalam kerajaan,” kata naib presiden Umno itu.

1 ulasan:

  1. Saudara Tak perlu tunggu 3 hari, sprm tidak akan siasat tpm. Lihatlah jumaat nanti nothing happens.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA