Selasa, 1 Ogos 2017

PAS yakin dan bersedia perintah Pahang tahun depan

PAS yakin dan sudah bersedia untuk memerintah negeri Pahang tahun hadapan, selepas pilihan raya umum akan datang, kata pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar.
Sehubungan dengan itu, beliau dipetik oleh akhbar Sinar Harian sebagai berkata, PAS tidak menafikan berkemungkinan akan bertanding di semua kerusi yang ada di negeri ini.
“Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi DUN dan Parlimen sebanyak 14 kerusi, tak mustahil kita akan bertanding semua.
“Bagi daerah Bentong bukan sahaja Parlimen malah semua DUN kita akan bertanding.
“Namun begitu kita sudah menetapkan sekurang-kurangnya 30 kerusi di peringkat DUN dan 10 kerusi Parlimen di negeri ini akan diletakkan calon PAS,” katanya
Rosli juga mengesahkan bahawa PAS akan bertanding sekurang-kurangnya di tiga kerusi milik bekas sekutunya.
Kerusi yang bakal menjadi rebutan itu adalah Parlimen Kuantan yang kini disandang oleh Fuziah Salleh dari PKR dan Indera Mahkota yang dipegang oleh Datuk Fauzi Abdul Rahman, juga dari PKR.
Kerusi Bentong pula kini dipegang oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Pada PRU-13, pakatan pembangkang diwakili oleh DAP yang menurunkan Wong Tack yang hanya tewas dengan majoriti 379 undi.
Akhbar itu turut memetik Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu sebagai berkata, dalam usaha menggantikan kerajaan sedia ada parti itu bersedia memberikan dua tawaran (manifesto) baharu buat rakyat negeri berkenaan.
“Berdasarkan kajian kita telah memutuskan bakal mengagihkan tanah lot tapak rumah seluas 1,500 kaki persegi kepada semua rakyat yang layak.
“Selain itu, membangunkan tanah terbiar di negeri ini yang berpotensi untuk dibangunkan kepada golongan belia sebagai sumber pendapatan dan ekonomi dalam bidang pertanian,” katanya.
Daripada 42 kerusi di DUN Pahang, PAS kini hanya memiliki tiga kerusi, PKR - 1 dan DAP -7. Selebihnya dikuasai oleh BN.
Bagi 14 kerusi parlimen di Pahang, PAS hanya memiliki Temerloh berbanding PKR - 2 dan DAP -1.

1 ulasan:

  1. Kuat berangan betul puak lebai

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA