Rabu, 9 Ogos 2017

Nothing2Hide: PM belum jawab undangan, ada kejutan untuk orang ramai

Pemuda PPBM percaya Najib akan hadir ke forum nanti walaupun surat undangan rasmi belum terjawab.
Nothing2Hid1
Surat rasmi mengundang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke forum terus terang “Nothing to Hide 2.0” tidak terjawab, kata Pemuda PBBM.
Ahli exco Mohd Ashraf Mustaqim berkata jemputan dihantar pada 19 Julai lalu dan ketiadaan jawapan dari pejabat perdana menteri sejak itu menyebabkan mereka percaya Najib akan membuat penampilan mengejut.
“Kami masih beranggapan Najib akan hadir pada program tersebut kerana beliau ternyata berdiam diri dan mengelak untuk memaklumkan mengenai kehadiran beliau, malah kepada pihak media hingga ke saat ini.
“Pun begitu, Pemuda PPBM berpendapatan sekiranya Najib tidak menghadirkan diri atau menolak untuk hadir, ini bereriti Najib tidak berani untuk menyatakan kebenaran, malah mempunyai ‘sesuatu’ untuk disembunyikan,” katanya pada sidang media hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad bulan lepas mengundang Najib ke forum terus terang itu, dengan berkata mereka boleh membincangkan bagaimana Dr Mahathir memperkara anak-anaknya dan bagaimana perdana menteri memiliki RM2.6 bilion dalam akaun peribadi pula.
Najib belum menjawab undangan Dr Mahathir tetapi pemimpin Umno lain bercakap bagi pihaknya, mengatakan perdana menteri selaku pemimpin negara tidak perlu membuang masa menghadiri forum yang akan mengabaikan apa sahaja penjelasannya.
Ashraf bagaimanapun mengulangi jaminan Dr Mahathir yang forum itu akan dikendalikan secara adil. Bagi tujuan itu, Pemuda PPBM melantik peguam Azhar Harun, atau lebih dikenali sebagai Art Harun, sebagai moderator.
Ashraf turut menasihatkan orang ramai yang mahu menghadiri forum itu supaya mengajukan soalan kepada Najib dan Dr Mahathir dengan hikmah dan santun.
“Kami sudah menghantar surat kepada polis minggu lalu, memaklumkan mereka mengenai forum ini. Kami harap mereka boleh sediakan jagaan keselamatan, bagi memastikan forum berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, mengulas tawaran ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi yang menawarkan diri menggantikan Najib dan berdebat dengan Dr Mahathir, Ashraf berkata mengalu-alukan mana-mana pemimpin Umno untuk sertai forum itu.

Namun, hanya Najib yang boleh berkongsi pentas dengan Dr Mahathir memandangkan bekas bekas perdana menteri itu “pemimpin tertinggi” Pakatan Harapan.
“Pemimpin Umno lain boleh duduk di bawah bersama para hadirin. Mereka masih boleh ajukan soalan kepada dr Mahathir, teteapi dari bawah, bukan dari atas pentas.”
Forum dijadualkan berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, pada 3.00 petang Ahad ini. Menurut Ashraf, Dr Mahathir akan mengumumkan kejutan di penghujung forum itu berkenaan suatu program yang beliau rancang “untuk kebaikan rakyat”.
Ditanya apakah kejutan itu, Ashraf meminta orang ramai supaya “tunggu dan lihat”.
Forum “Nothing to Hide” pertama kali diadakan pada 2015, di mana Najib tidak dapat hadir selepas dinasihatkan polis atas sebab keselamatan.
Dr Mahathir yang membuat penampilan mengejut naik ke pentas dan memberi ucapan kepada 2,000 hadirin. Beliau sempat berucap selama 6 minit tetapi dihentikan pihak polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA