Ahad, 13 Ogos 2017

Nothing to Hide: Pemuda disyaki buat kecoh dipukul lebih 10 lelaki?

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu polis menyiasat kekecohan yang tercetus dan mengambil tindakan ke atas mereka yang cuba menegakkan keadilan sendiri.
mob-2
SHAH ALAM: Seorang pemuda yang disyaki mencetuskan kekecohan ketika bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada forum Nothing to Hide 2.0 dipercayai dipukul sekumpulan lelaki berbaju merah PPBM.
Sekumpulan lebih 10 lelaki itu mengejar pengacau disyaki itu dan menumbuknya berulang kali, sebelum menolaknya ke sebuah bilik yang dikunci dari dalam.
Wartawan FMT cuba memasuki bilik itu, tetapi diarah meninggalkan tempat berkenaan. Kedengaran bunyi seseorang dipukul dari dalam bilik terbabit yang dikawal ketat.
Kira-kira sejam kemudian, polis membawa dan mengiringi 2 suspek dari bilik VIP itu. Mereka kelihatan lemah dan tidak responsif.
Seorang daripada mereka memakai baju merah Pemuda PPBM.
Ketika ditanya mengenai pengacau disyaki pada sidang media kemudian, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu mengenainya.
“Saya benar-benar harap anda boleh serahkan video itu kepada polis. Ini bukan isu politik, ini ialah isu jenayah.
“Jika ada ahli yang didapati cuba menegakkan keadilan sendiri, kami harap polis akan mengambil tindakan terhadap mereka.
“Kerana apa yang salah tetap salah,” katanya.
Kekecohan tercetus sekitar 5.30 petang tadi, pada forum Nothing to Hide 2.0 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam, ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali yang berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri.

Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau tiba-tiba membaling kasut dan disusuli suar, kerusi dan botol air ke arah pentas khas yang disediakan, di mana Dr Mahathir berada ketika itu.
Dewan Raja Muda Musa dipenuhi asap dan tumbuk-menumbuk dikatakan berlaku ketika ahli PPBM meluru ke atas pentas untuk melindungi bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu.
Dr Mahathir bagaimanapun tidak cedera dan memberitahu penganjur yang beliau tidak kecil hati dengan cubaan menyerangnya, sebaliknya beliau memuji cara penganjur mengawal kekecohan yang tercetus.
“Kita tidak jangka benda ini berlaku, kami minta maaf dengan Tun, tapi Tun kata tak apa ini perjuangan demi negara, agama, bangsa kita untuk selamatkan negara,” kata pengarah forum itu, Ashraf Mustaqim selepas mengiringi Dr Mahathir meninggalkan kompleks itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA