Selasa, 22 Ogos 2017

Muhyiddin yakin PRU14 ini PH rampas Johor

Muhyiddin yakin PRU14 ini PH rampas Johor
Berdasarkan kepada kajian semasa terhadap pengundi di Johor, PH yakin akan dapat merampas Johor daripada BN, kata Muhyiddin Yassin.
PAKATAN Harapan (PH) yakin akan dapat merampas Johor daripada Barisan Nasional (BN) kerana rakyat negeri itu sudah bersedia untuk menukar kerajaan negeri dalam pilihan raya umum nanti, kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang mempengerusikan jawatankuasa pilihan raya pakatan pembangkang itu berkata, keyakinan pihaknya itu berdasarkan kepada kajian semasa terhadap pengundi di Johor.
"Kita lihat keadaan dan situasi di negeri Johor sekarang berada di tahap yang matang untuk PH ambil alih sampai pilihan raya akan datang. Ini berdasarkan fakta, data dan tinjauan kita buat beberapa bulan (dan tahun) kebelakangan.
"Sebab itu kita lancarkan strategi menawan negeri Johor daripada BN. Kita tumpu masa untuk gerakkan jentera parti kita di semua peringkat negeri Johor," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook.
Muhyididn yang juga Pengerusi PH Negeri Johor sebelum itu mempengerusikan mesyuarat pertama parti gabungan PH di Johor Bharu.
Pada sidang media itu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub sebagai pengarah jentera pilihan raya Johor selain penubuhan beberapa biro yang diwakili oleh parti-parti gabungan iaitu PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.
Mesyuarat itu tambah Muhyiddin turut membincangkan pembahagian kerusi di Johor antara parti-parti dalam PH.
“Kita akan pertahankan kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat dahulu, dan strategi (kita) menumpukan kerusi pilihan yang kita yakin sokongan PH meningkat dan peluang untuk cipta kemenangan amat jelas dan nyata," katanya.
Ditanya apakah beliau akan jadi calon menteri besar di Johor, Muhyiddin berkata itu terserah kepada pucuk pimpinan PH.
"Itu soalan cepu mas, tapi saya fikir keputusan muktamad adalah di peringkat pusat dan ia terserah kepada budi bicara tentang siapa yang akan mengepalai negeri ini. Apabila sampai masa pasti akan diumumkan," katanya.

Muhyiddin turut ditanya apakah beliau akan mempertahankan kerusi parlimen Pagoh yang beliau sandang sekarang ketika pemimpin Umno mengatakan beliau kini sudah hilang sokongan.
"Kalau tak ada orang nak sokong tak apalah, biarlah mereka nak kata tak ada orang nak sokong saya dan biar mereka masih dibuai dengan mimpi sedangkan hakikatnya kita semua tahu yang luar saja biru tapi isinya merah,” katanya, merujuk kepada warna BN dan Bersatu.
“Apa pun saya yakin dengan pengundi di Pagoh. Mereka masih lagi suka saya. Berpuluh tahun saya di sana sudah tentu ada sedikit sebanyak jasa saya di sana,” kata beliau.
Muhyiddin mula jadi wakil rakyat Pagoh pada pilihan raya 1978 dan mempertahankan kerusi sama pada pilihan raya 1982. Pada pilihan raya berikutnya, beliau bertanding di kerusi DUN Bukit Serampang untuk jadi calon menteri besar sehinggalah pada pilihan raya 1995 apabila beliau kembali ke Parlimen Pagoh.
Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini meminta ahli Umno untuk tidak terus dibelenggu dengan nostalgia Muhyiddin, yang pernah jadi menteri besar negeri itu antara 1986 hingga 1995.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA