Rabu, 2 Ogos 2017

Masa depan Zahid tidak tentu selepas dakwaan perjumpaan sulit dengan Dr M

Bekas menteri penerangan itu berkata Najib Razak sedia maklum mengenai ancaman timbalannya.
zam_Zahid-Hamid_600
Masa depan politik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini mungkin tidak menentu apabila pemangku timbalan presiden Umno itu berdepan tekanan daripada dalam dan luar partinya, menurut bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin.
Zainuddin yang mesra dengan panggilan Zam berkata ia mungkin sebab mengapa Zahid masih berdiam diri mengenai kritikan dan laporan polis terhadapnya, termasuk dakwaan beliau pernah mengadakan perjumpaan sulit dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini memimpin gabungan pembangkang, Pakatan Harapan.
“Semangat Zahid kini di tahap rendah. Tindak tanduknya dalam isu kad pengenalan Dr Mahathir, hanya budak-budak lakukan perkara begitu. Rakyat tidak sangka seorang timbalan perdana menteri boleh ke tahap itu.
“Kesetiaannya kepada Umno dan presidennya, Datuk Seri Najib Razak juga menjadi tanda tanya, dan ia akan berterusan melainkan beliau boleh meyakinkan ahli parti yang dakwaan Dr Mahathir tidak benar,” kata Zam kepada FMT.
Zahid dalam beberapa kenyataan dan ucapan mempertingkatkan serangannya terhadap Dr Mahathir. Ahad lalu, beliau mengungkit asal-usul Dr Mahathir dengan mendakwa kad pengenalan bekas perdana menteri itu tertera nama “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.
“Patutlah dia kata kita mudah lupa. Sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,” kata Zahid semasa berucap menutup Mesyuarat Perwakilan Umno Kelana Jaya.
Susulan itu, Dr Mahathir mendedahkan Zahid pernah bertemu dengannya selepas dilantik sebagai timbalan Najib, selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2015, dalam usaha mendapatkan sokongan untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.
“Saya kata kepada Zahid kalau pun Najib letak jawatan – yang mana itu tak mungkin – Zahid kena tunggu Umno tentukan siapa ganti Najib. Belum tentu Zahid akan ganti Najib.
“Jadi bila nak simpati saya, datanglah. Ini dah tak boleh dapat cari jalan macam ini… Saya malu orang macam ini ada dalam Kabinet,” kata Dr Mahathir dalam video dimuatnaik di Facebook PPBM Isnin lalu.
Zam berkata Zahid akan berdepan cabaran besar menyangkal dakwaan Dr Mahathir.
“Sebab integritinya sudah dicemari oleh serangannya terhadap Dr Mahathir,” kata bekas menteri penerangan itu.
Menurut Zam, Najib memang sudah tahu akan “bahaya” Zahid.
“Malah lebih bahaya daripada Muhyiddin,” tambahnya.

“Sebab itu, dia tiba-tiba lantik Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas khas.
“Zahid sedia maklum. Dia dapat melihat jalan Hishammuddin menuju jawatan perdana menteri terbentang lebih luas.”
Bagaimanapun, Zam berkata Zahid seorang ahli politik yang bercita-cita tinggi dan tidak akan menyerah kalah.
Ini kerana, jelasnya, Zahid sedar sokongan akar umbi Umno terhadapnya.
“Najib juga tahu apa yang boleh dilakukan Zahid. Dia tahu musuh dalaman yang hanya tunggu masa menerkam,” katanya, sambil menambah Najib kini perlu menangani ancaman terhadapnya tanpa melemahkan lagi kepimpinannya.
Tetapi Zainuddin berkata, sekiranya Zahid meneruskan tindak tanduknya kini, Najib tidak perlu berbuat apa, cuma melihat sahaja Zahid “menggali kubur sendiri”.
“Apa yang Zahid sudah lakukan, dan didakwa lakukan, adalah perbuatan bunuh diri politik.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA