Khamis, 10 Ogos 2017

LEPAS JUMPA ARUL KANDA PAS BAGI COP MOHON KEPADA NAJIB?


Secara umumnya kita mengalu-alukan mana-mana pihak, baik kerajaan, parti pembangkang atau orang perseorangan (profesionalis) mengambil bahagian dan berusaha untuk menyelamatkan harta benda negara, seperti kerugian dialami syarikat perlaburan strategi 1MBD yang sudah diketahui umum dan menjadi penyakit kronik buat Najib Razak dan kerajaan UBN.

Sebagai warga negara yang bertanggungjawab dan bersemangat patriotik, kita harus bergerak sederap untuk menyelesaikan masalah itu yang kini merupakan masalah terbesar dipanggung negara di era Najib Razak menjadi perdana menteri. Skandal itu bukan sahaja dipikul Najib secara peribadi tetapi ia terleset kepada seluruh rakyat negara ini.
Seluruh dunia mengetahuinya, dan negara kita sedang diejek dan dhina dengan perbuatan manusia bernama Jho Low, orang bertanggungjawab mencipta dan mencari laba besar menerusi skandal 1MDB itu. Kebijaksanaan (sebenarnya pengkhianatan) Jho Low menipu negara suatu lagi sejarah hitam buat Malaysia yang belaka kita harus mengutuk dan menentangnya. Kutukan bukan sahaja kepada Jho Low tetapi orang yang memberi lesen kejahatan itu kepadanya.
Bertolak dari kepentingan dan tanggungjawab itu usaha parti agama (Pas), untuk mendapatkan penjelasan berhubung permasalahan dalam 1MDB dan perkembangannya terkini, dilalu-alukan. Jangan perkecilkan usaha Pas itu dimana mereka juga ada peranan dan tanggungjawab kenegaraannya. Dan wajar tindakan Pas itu dipuji kalau ia memberi kesan positif. Tiada masalah untuk kita mengatakan sesuatu yang baik itu waima siapa melakukannya. Kebenaran mengatasi sempadanan emosi.
Barang kali kita boleh memberi kredit kepada usaha Pas itu. Pihak lain, parti-parti pembangkang PKR, DAP, PPBM dan Amanah sudah pun mengambil bahagian masing-masing. Baik menerusi organ mereka atau menerusi kenyataan peribadi pemimpinnya baik melalui akhbar atau pun dipentas ceramah.
Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad, setiap hari dan setiap detik bercakap dan meluahkan kekesalan mengenai skandal 1MDB. Tanpa opolegetik beliau langsung menyalahkan Najib Razak dengan menggelarkannya sebagai penyangak, penipu, pencuri dan perompak– 4P.  Dr Mahathir hari ini dilihat semacam tidak siuman lagi apabila memikirkan macam mana untuk menghuiraikan skandal berkenaan. Apa yang pernah dilakukan terhadap Abdullah Badawi itulah juga dikerjakan kepada Najib.
Siasat Najib.
Begitu juga dengan pemimpin parti-parti pembangkang lain, DAP, Amanah dan PKR. Mereka juga tidak ketinggalan mengambil bahagian untuk menyelamatkan negara dengan mencari sosulsi agar skandal 1MDB diatasinya. Berbagai cadangan dan desakan dilakukan untuk itu. Antara tindakan dan cadangan ialah agar Najib disiasat secara telus dan adil. Mereka sepakat meletakkan skandal 1MDB dibawah tanggungjawab Najib.
Terbaharu tindakan pimpinan pembangkang ialah mengemukakan memorandum kepada SPRM supaya membuka siasatan semula terhadap isu 1MDB. Memorandum itu disertai dengan bukti terbaharu seperti dikeluarkan oleh DoJ, dibuat selepas beberapa jam Pas membuat kenyataan bahawa pihaknya berpuas hati dengan perjalanan pelan rasionalisasi yang sedang diusahakan oleh 1MDB untuk menyelamatkan khazanah negara itu.
Memorandum itu diserahkan sendiri oleh Presiden Harapan, Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan diiringi beberapa pemimpin tertinggi Harapan.
Wan Azizah kepalai serah memo kepada SPRM.
Sehari lalu, Pas yang diketuai timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Manbersama 30 ahli jawatankuasa kerjanya telah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda untuk mendapat penjelasan berhubung 1MDB. Khabarnya perjumpaan mahabbah itu memakan masa 2 jam. Apakah ia merupakan pertemuan untuk bersoal balas atau sekadar mendapat penjelasan sepihak daripada Arul Kanda? Atau pun perjumpaan untuk menikmati cepati dan tosei bikinan Arul Kanda sahaja.

Mungkin ia berlaku sebelah pihak sahaja, di mana Arul Kanda memberi ta’aruf panjang lebar mengenai kewarasan pelan rasionalisasi yang sedang dilaksanakan kini serta memberi tahu tindakan-tindakan positifnya. Kerana selepas pertemuan itu Tuan Ibrahim tampil bersama barisan kepimpinan Pas (dengan gaya seakan baharu kekenyangan) membuat kenyataan akhbar bahawa pihaknya berpuas hati dengan perjalanan pelan rasionalisasi yang diambil itu dengan mengharap agar pelan itu dipantau oleh pihak Kementerian Kewangan.
Tiada pula penjelasan lanjut (kenyataan) dari Arul Kanda berhubung pertemuan itu, semisalnya memuji sikap tasamuh pemimpin Pas yang memahami masalah 1MDB dan memberi tahu yang mereka (pemimpin Pas) turut berdoa agar skandal dialami 1MDB selamat. Tiada pula.
Seperti disebut tadi langkah Pas atau sesiapa sahaja mengambil berat soal 1MDB adalah baik. Yang sedikit tidak kena dengan langkah Pas itu ialah kenyataan yang mengatakan pihaknya berpuas hati. Nampak mudah sangat kenyataan Pas itu, ia seakan memberi penawar kepada 1MDB. Selama ini pendapat dan komentar sebegitulah yang diharapkan oleh 1MDB khasnya Arul Kanda.
Kalau Pas tidak membuat kenyataan sebegitu saya rasa ia lebih baik. Pas pendamkan sahaja rasa puas hatinya itu kerana kenyataan itu pasti tidak akan menjungkitkan orang ramai. Bila ia mengatakan berpuas hati seolah-olah sesuatu yang positif sedang berlaku dalam 1MDB sedang hakikatnya tidak begitu. Rakyat sudah bosan dan cemuh mendengar perkataan 1MDB hari ini, kenyataan Pas itu mendukacitakan sekali.
Jika Pas bijak dalam politiknya, dalam membuat kenyataan-kenyataan akhbar, orang masih rezab kepada Pas dengan menganggap parti itu juga dukacita dengan skandal MDB itu. Orang akan lihat Pas masih waras. Namun selepas ia dinyatakan demikian menjadi orang ramai konfius, apakah tindakan Pas itu benar sesuai dengan rupa diri parti itu yang sepatutnya menjadi pembela rakyat yang menyuarakan sesuatu yang benar itu walaupun pahit.
Pas adalah parti politik yang mengharapkan sokongan rakyat. Tiada guna sebuah parti politik kalau ia sekadar retorik tanpa penyokong. Apa lagi ia sebuah parti berkonsep agama, maka ia lebih dipercayai berbanding parti sekular dan liberal lain. Setiap apa yang diluahkan oleh pemimpin mereka akan ditelan, gukp... semahunya, atas perkiraan masakan parti agama berbohong walaupun sudah banyak perkara tidak senonoh dilakukan parti berkenaan.
Kenyataan Tuan Ibrahim itu kontradik dengan pendapat dan naluri umum yang sudah lama memerhati skandal berkenaan. Yang tidak puas hati dengan jawaban dan aksi-aksi Najib Razak mengenai isu itu. Jawaban-jawaban dan tindakan diambil untuk melindungi skandal itu sudah dihafal oleh orang ramai.
Selamanya minda orang bergalang dengan berbagai persoalan dan tanda tanya beberapa tindakan kerajaan dan Najib melarikan isu itu selama ini. Misalnya tindakan parlimen tidak membenarkan soalan mengenai 1MDB dijawab di parlimen satu perkara terpaku dalam kepala rakyat dan telah meletakkan ada isu besar disembunyikan dalam kes ini.
Demikian juga dengan laporan audit (PAC) digazetkan sebagai bahan Rahsia Rasmi. Untuk ini sahaja kalau kita menggunakan akal waras dan jika kepala kita tidak ditepu dengan semutar dapat berfikir, ada sesuatu yang tidak kena dalam kes ini. Kalau skandal 1MDB itu tidak menyembunyikan apa-apa keburukan dan kebusukan tidak ada keperluan segala maklumat, laporan PAC atau persoalan di parlimen tidak dibenarkan untuk dijawab.
Rakyat berhak untuk mengetahui perjalanan syarikat itu dan perkembangan skandalnya, kerana ia adalah hak rakyat. Pas dan Tuan Ibrahim seharusnya memahami keperluan dan kewajiban ini dengan tidak cuba menjadi syaitan bisu atas sebarang kepentingan dan tekanan mana-mana oknum.
Seputar disebalik persoalan itu seperti tidak disedari oleh Pas apabila dengan mudah, Pas membuat kenyataan perkembangan dalam 1MDB memuaskan hati pihaknya. Kerana sikap simplistik itulah menyebabkan beberapa orang pemimpin Pakatan Harapan mempersoalkan sikap Pas itu sebagai satu pernyataan yang sangat dikesali dan memalukan.
Naib Presiden Amanah, Dr Mujahid Yusof menganggap kenyataan Pas itu sebagai menghina parlimen, kerana katanya 32 soalan mengenai 1MDB tidak dijawab dalam sidang yang lalu. Speaker dengan menggunakan kuasa dan alasan tersendiri telah membakulsampahkan semua soalan mengenai 1MDB. Dalam kes 1MDB ini speaker sepatut adil tetapi telah bertindak menjadi seperti hakim beruk.
Bagi Dr Mujahid kenyataan timbalan presiden Pas yang memangku jawatan presiden itu sangat memalukan kerana seluruh dunia mengetahui masalah 1MDB. Sehubungan itu melihat keberanian Arul Kandal berhadapan dengan pemimpin Pas, Dr Mujahid cabar Arul Kanda memberi penjelasan di parlimen bukan di hadapan 30 ahli jawatankuasa Pas sahaja.
Lebih sinis lagi apabila naib presiden PKR, yang juga Hero Rakyat, Rafizi Ramlipula bertanya Tuan Ibrahim dan Pas, apakah mereka faham mengenai pelan rasionalisasi itu. Yang termasuk dalam pelan rasionalisasi itu mengikut faham Rafizi, segala aset milik 1MDB dijual kepada syarikat swasta dan juga pihak asing. Dana itu akan mengurangkan hutang 1MDB serta berlaku pemindahan hutang-hutang diwarisi 1MDB membeli asetnya kepada pembeli baru. 1MDB akan menanggung segala liabiliti itu dimana hakikatnya rakyat penanggung risiko abadinya.
Manakala bekas naib presiden Pas, Mahfuz Omar pula dengan sinis mengatakan tindakan Pas itu seperti melindungi pencuri dan kenyataan Tuan Ibrahim itu memburukkan imej parti Pas. Bukan mereka sahaja lain-lain pemimpin juga turut sama mempertikaikan kenyataan Tuan Ibrahim itu termasuk juga Husam Musa yang awal-awal sudah membuat komen dalam facebooknya.
Dengan jujur Husam Musa mengatakan Pas sepatutnya bukan mendengar penerangan dari Arul Kandal tetapi berkongsi beberapa persoalan. Enam perkara disebut Husam yang boleh dikongsikan. Antaranya, darimana 1MDB akan memperolehi RM2.5 billion untuk bayaran kepada IPIC yang telah termungkir itu.
Juga katanya Pas kena tanya pelan rasionalisasi mana yang menghasilkan RM2.5 billion untuk bayaran jika benar 1MDB sendiri membayarnya.
Seterusnya, kenapa bayaran pertama kepada Aabar dulu dimasukkan ke dalam akaun syarikat yang salah? Dan kenapa tidak berterus terang tentang salah pembayaran itu dengan rakyat Malaysia selama ini.
Husam juga minta berkongsi dengan Arul Kandal mengenai kenapa 1MDB jika tidak salah bayar kenapa syarikat itu tidak berjaya membuktikan hal itu semasa Arbitrasi di London dulu? Soalan yang mahu dikongsi Husam itu sangat autantik sekali dan di sinilah Pas merasakan ia kerugian apabila tidak mempunyai pemimpin seperti bekas naib presiden itu.
Kerana sudah banyak ulasan dan komen terhadap kenyataan Tuan Ibrahim itu, di sini saya tidak mahu memperpanjangkan dengan menokak tambah yang lain. Yang ingin saya simpulkan kenyataan Tuan Ibrahim bagi saya tidak lebih daripada suatu Cop Mohon daripada Pas untuk Umno dan Najib Razak sahaja. Cop Mohon itu bolehlah digunakan Najib untuk menyakinkan rakyat bahawa Pas juga sudah bersamanya baik dari luar dan juga dari dalam.
Sudah pasti selepas ini Najib akan memberi komen terhadap kenyataan berupa penawar jiwa oleh Tuan Ibrahim itu. Apa yang Najib akan kata sama-sama kita tunggu, betapa lunak dan indahnya. Dan ulasan Najib itu pula boleh menyebabkan Pas terus terlena dan nyenyak dalam ulikan di atas “buian bunian” kebersamaan yang diistilahkan sebagai politik matang dan sejahtera. Kita tunggu.
Apa dapat dilihat disebalik kenyataan Pas itu juga bagi saya, suatu kesenimbungan bentuk atau kaedah kerjasama (ta’awun) membawa Pas akan bersama Umno. Soalnya sebelum pilihan raya atau selepas itu akan ditentukan oleh keadaan dan masa. Hakikatnya kebersamaan itu wujud dan kian menjadi nyata dan terang. Hendaknya orang-orang konfius dan kabur dalam Pas mendapat pencerahan dengan apa yang berlaku itu.
Kenyataan Tuan Ibrahim dan pertemuan dengan Arul Kandal itu adalah siri-siri melunakkan hubungan Pas – Umno dimata rakyat. Oleh sebab itu dan kerana itu saya suka kalau Pas dan Umno secara gentlemen memeteraikan perjanjian bersama kerana ia lebih menyenangkan.
Dan mengenai isu skandal 1MDB ini, saya nasihatkan orang Pas janganlah kesal dan marah dengan isu ini. Lebih baik anda menerimanya dengan baik dan terus berdoa agar Najib selamat kerana keselamatan Najib penentuan masa depan Pas.

1 ulasan:

  1. Sudahlah PAS... GUA tadak caya sama lu lagi. Dah jadi parti putar alam. Lebai2 kosong dalam Pas elok bersara je... cukup memalukan. Satu undi untuk Pas = satu undi untuk BN.

    JADI KAMI SERU PENGUNDI TOLAK PAS.....

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA