Selasa, 8 Ogos 2017

Laporan Transformasi Kebajikan Bumiputera: Apakah kita merancang untuk gagal?

Osman Jailani 

 Baru-baru ini saya diminta untuk mengulas laporan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang dilancarkan perdana menteri tidak berapa lama dahulu.
Laporan yang dikeluarkan oleh Teraju ini merupakan pelan dan strategi yang akan memacu hala tuju Bumiputera untuk lima tahun yang akan datang.
Namun, jika inilah strategi untuk memajukan bangsa Bumiputera, saya rasa masa depan kita seolah-olah sedang diperjudikan.
Secara keseluruhan, laporan ini lemah. Kajiannya tidak teliti tanpa kedalaman intelektual yang diperlukan, dan tidak peka kepada cabaran yang dihadapi kaum Bumiputera.
Malah, dalam beberapa aspek, rumusan laporan ini seolah-olah menggambarkan penulisnya hidup di alam yang berlainan.
Difahamkan, laporan ini disediakan susulan dari sesi 'lab' yang diselia Pemandu Associates sebelum ia ditulis sebuah firma perunding antarabangsa yang dilantik oleh Teraju. Hasilnya, sebuah laporan dengan analisis dan kesimpulan yang mengecewakan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan laporan ini tidak seharusnya diterbitkan. Pendirian saya ini adalah berdasarkan empat kelemahan berikut:
Pertama, laporan ini tidak peka langsung akan isu-isu penting yang membelenggu kaum Bumiputera. Contohnya isu kemiskinan, jurang kekayaan, peluang pekerjaan, dan diskriminasi dalam sektor swasta.
Laporan setebal lebih dua ratus muka surat ini hanya menyebut tiga kali perkataan kemiskinan, malah itu pun bukannya pada halaman utama.
Tidakkah Teraju sedar kemiskinan masih lagi menebal di kalangan kaum Bumiputera. Data menunjukkan kemiskinan di kalangan Bumiputera di Sabah dan Sarawak adalah masing-masing pada kadar 20% dan 7%, dan masih ramai terdedah akan kemiskinan.
Kebisuan anggun ataupun dalam bahasa Inggerisnya 'elegant silence' ini amat ganjil sekali apabila kita semua tahu kadar kemiskinan paling tinggi adalah di kalangan kaum Bumiputera berbanding kaum-kaum yang lain.
Isu kemiskinan bandar juga langsung tidak dihuraikan. Malah ironinya, laporan Pelan Tindakan India Malaysia (MIB) yang dilancarkan perdana menteri beberapa hari selepas laporan TKB ini dikeluarkan menyebut isi kemiskinan hampir 50 kali walaupun kemiskinan dalam kalangan kaum India adalah lebih rendah berbanding kaum Bumiputera.
Tambahan lagi, isi jurang kekayaan juga tidak disebut. Pengangguran belia dan siswazah juga tidak dihuraikan secara mendalam oleh laporan ini.
Begitu juga kekangan dalam sektor tenaga kerja walaupun ada kajian ilmiah yang menunjukkan terdapat isu diskriminasi di sektor swasta terhadap graduan Bumiputera.
Kedua, laporan hala tuju ini tidak memberitahu kita kedudukan semasa kaum Bumiputera dari segi pendidikan, pekerjaan, pengumpulan harta dan sebagainya.
Tiada perangkaan langsung jumlah profesional Bumiputera – adakah makin bertambah ataupun menurun, jumlah pelajar yang tercicir, dan mereka yang menganggur sebagainya.

Contohnya, antara tahun 2010 hingga 2014, peratusan doktor Bumiputera berkurangan, namun kita tidak tahu apakah ia terus berkurang ataupun bertambah baik. Apakah matlamat kita dalam lima tahun mendatang? Bagaimana pula dengan sektor pekerjaan yang lain?
Kita juga tidak diberitahu tentang situasi pengumpulan harta kaum Bumiputera, contohnya mengenai pemilikan rumah menjelang 2020 walaupun dalam Rancangan Malaysia Kesebelas ada menyebut matlamat 90% isi rumah Bumiputera bakal mempunyai rumah sendiri.
Bagaimana pula kemasukan Bumiputera di universiti dan penerimaan biasiswa? Isu ini juga langsung tidak disebut.
Yang peliknya, data yang dikeluarkan di dalam Laporan MIB menunjukkan hanya satu daripada dua pelajar Bumiputra yang layak masuk ke IPTA diberi tawaran kemasukan, peratusan yang paling teruk berbanding pelajar berbangsa Cina dan India.
Natijahnya, laporan ini seperti berselindung daripada menggambarkan kedudukan sebenar kaum Bumiputera, dan juga mengelak daripada memberi sasaran terperinci untuk lima tahun akan datang.
Ketiga, metodologi yang digunakan untuk menghasilkan kajian ini boleh dikategorikan sudah lapuk dan tidak mengambil kira kebijaksanaan semasa. Laporan yang miskin kedalaman intelektual ini hanya menyebut isu dan strategi dirancang oleh para anggota 'lab' .
Namun apabila diteliti keahlian 'lab' ini,  tidak seorang pun pengkaji-pengkaji tersohor Bumiputera dan bukan Bumiputera, baik dari lapangan ekonomi, politik, sosiologi, antropologi, sejarah, usahawan, dan sebagainya, yang dijemput untuk berkongsi pandangan. Ini berbeza sekali dengan Laporan MIB yang begitu inklusif.
Saya berpendapat sebuah kajian bersifat strategik sebegini tidak seharusnya menggunakan konsep 'Iab'  yang dikendalikan oleh konsultan yang langsung tidak mempunyai kepakaran teknikal dan pemahaman isu yang menyeluruh.
Keempat, saya amat terkejut apabila membaca salah satu matlamat hala tuju, ataupun 'true north' Bumiputera adalah supaya pendapatan Bumiputera akan naik sehingga RM5,000 sebulan dalam tempoh lima tahun ini.
Jika Teraju merujuk kepada pendapatan isi rumah Bumiputera, sasaran ini ternyata ganjil memandangkan pada tahun 2014, purata pendapatan isi-rumah Bumiputera sudah pun mencecah hampir RM5,500 sebulan!
Tidak mengapa, mungkin Teraju bermaksud pendapatan individu Bumiputera akan melonjak kepada RM5,000 sebulan. Namun, laporan gagal menghuraikan bagaimana sasaran ini akan dicapai.
Pada 2016, separuh pekerja Bumiputera mendapat gaji dan upah bulanan hanya sebanyak RM1931, jumlah yang cuma RM466 lebih berbanding 2011. Namun, apakah strategi yang akan digunakan untuk melonjak pendapatan Bumiputera sehingga RM5000 sebulan sedangkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, peningkatan gaji dan upah tidak pun mencecah RM100 setahun!
Banyak lagi kelemahan laporan ini yang boleh kita bahaskan tetapi cukuplah empat isu yang disebut di atas. Amat malang sekali laporan ini gagal menongkah jalan ke hadapan bagi masyarakat Bumiputra. Yang menyedihkan, penulis diberitahu keseluruhan kos menghasilkan dan menerbitkan laporan ini menelan belanja jutaan ringgit.
Saya ingin mencadangkan kepada Teraju supaya menganjurkan satu sesi taklimat, dan sebaik-baiknya diteruskan dengan diskusi untuk mewacanakan laporan ini.
Jemputlah para cerdik pandai dalam kalangan Bumiputera dan bukan Bumiputera, dan biarlah mereka berdebat dengan Teraju dan pihak konsultan secara ilmiah agar kelemahan dan kepincangan laporan ini dapat diatasi, demi kesejahteraan kaum Bumiputera dan rakyat Malaysia.

1 ulasan:

  1. Aku dah kata Kat machaaa YG kata India dipinggirkan....baru Tau melayu yg dok bergelut..dgn pemimpin yg dok Ada.. melayu akan semakin layu..yg melayu tau brim..dekoder..Moto cup... rilek...India dah potong ...cina apa Kan lagi.. Saipa..psai.. pemimpin depa..pikiaq startegi..yg melayu..pikiaq nak menyamun..India dok kacuk kaum depa dgn India tanah besar..pi check brp ramai lelaki Dan pompuan ic merah..anak ibu ic merah pun boleh masuk u..Saja Tak tukaq biru..balik India tiap tahun...sudahlah melayu..humban Kan pemimpin2 la Ni..Kita Bina Melayu baru..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA