Isnin, 7 Ogos 2017

Lantikan politik terus bertugas seperti biasa, kata PAS, PKR Kelantan

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata lantikan politik PKR dalam kerajaan Kelantan tidak meletak jawatan seperti yang diarahkan PKR Pusat.
tuan-ibrahim-tuan-man-bendera-pkr-pas-Ab-Aziz-Ab-KadirPETALING JAYA: Ahli PKR yang sudah dilantik sebagai ahli majlis dalam kerajaan Kelantan tidak meletak jawatan seperti yang dilaporkan, bahkan mereka kekal berkhidmat kepada kerajaan pimpinan PAS itu seperti biasa.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menafikan laporan mendakwa lantikan politik PKR dalam kerajaan Kelantan meletak jawatan.
“Setakat ini maklumat kami terima mereka tidak meletak jawatan…tindakan mereka tak letak jawatan satu tindakan positif dalam konteks rakyat,” katanya pada sidang media selepas sidang meja bulat mendengar penerangan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengenai hutang 1MDB dan pelan rasionalisasi dana milik kerajaan itu di Hotel De Palma, Ampang.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir kepada FMT hari ini.
“Mereka yang mengangkat sumpah tidak meletak jawatan dan meneruskan tugas seperti biasa…demi rakyat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Penerangan PKR Kelantan Mohammad Azihan Che Seman berkata 7 ahli PKR yang dilantik ke majlis daerah meletakkan jawatan.
Azihan berkata PKR Kelantan bermesyuarat pada Mei dan Jun membincangkan surat Biro Politik PKR pada 17 Mei mengarahkan semua ahli parti yang memegang jawatan lantikan politik melepaskan kedudukan masing-masing.
“Selepas PAS memutuskan ikatan dengan PKR pada Mei…dipersetujui 7 ahli akan meletak jawatan pada 31 Julai, seperti diarahkan kepimpinan pusat,” kata Azihan.
Sebelum ini, media melaporkan 56 ahli PKR lantikan politik dalam kerajaan Kelantan menunggu keputusan rasmi dari PKR Pusat, selepas parti menangguhkan pelaksanaan arahan Presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tuan Ibrahim hari ini berharap ahli PKR yang sudah dilantik kekal di kedudukan masing-masing dan mengetepikan kepentingan politik parti mereka.
“Saya fikir dalam beberapa bulan sebelum pilihan raya ini, kita tidak perlu ganggu urusan pentadbiran, rakyat, emosi dan sebagainya. Itu lebih baik,” katanya, tetapi menegaskan PAS tidak mahu mencampuri urusan PKR.
“Kalau ada arahan mungkin ahlinya terpaksa ikut.”
Terbaharu, Azihan ketika dihubungi FMT memaklumkan ada perubahan pada senarai ahli yang meletak jawatan, dan kenyataan baharu akan dikeluarkan nanti.
“Ada penama perlu diubah,” katanya, dan memaklumkan ahli PKR yang belum mengangkat sumpah bersetuju untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA