Jumaat, 11 Ogos 2017

LAGI CUBA DIHINA, LAGI DISANJUNG SEGALA JASANYA

Untuk menang pilihanraya dan bertujuan menghakis kepercayaan rakyat jelata, Najib Razak nampaknya tiada pilihan lain selain cuba "menterbalikkan dunia"  mengenai Tun Mahathir Mohamad.

Tidak cukup dengan serangan tanpa henti di media arus perdana, cuba menidakkan jasa-jasanya, mengadu-domba dan  menubuhkan Suruhanjaya Diraja berkaitan perniagaan matawang dengan tujuan untuk "mengenakannya", kini keluarganya pula diasak secara agresif dengan serbuan serentak oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Serbuan itu, selain barangkali untuk menyiasat kekayaan anak-anaknya, tentu saja tidak mustahil akan disusuli dengan pelbagai tekanan yang bakal diterima dalam bentuk cukai dan sebagainya.

Adakah Tun Mahathir gentar?

"Mereka dipersilakan meneliti semua dokumen saya, bahkan SPRM juga.

"Saya fikir kita patut adakan serbuan lebih kerap kerana kita juga perlu serbu Najib dan keluarganya, isterinya, anak lelakinya, anak tirinya - semua mereka perlu diserbu.

"Saya juga cadangkan kita patut serbu sama Hishammuddin kerana kita tahu gaya hidup orang seperti ini perlu diteliti, malah serbuan  patut diperluaskan kepada adik-beradiknya," tambah Tun Mahathir.
Di mata rakyat, dengan hanya keluarga Tun Mahathir saja yang dijadikan sasaran, bahkan satu demi satu, sebagaimana disebut sebelum ini ia hanya memperlihatkan sikap "busuk hati" kerajaan pimpinan Najib terhadap Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Dengan itu, rakyat bukan saja makin menolak Najib melalui sambutan dan penerimaan semakin kuat terhadap setiap program yang dihadiri Tun Mahathir, malahan semakin terserlah yang melahirkan kebanggaan terhadap jasa-jasanya.

Tidak cukup dengan segala jasa dan sumbangannya ketika menjadi Perdana Menteri terus diingati dan dikatakan tiada bandingan dengan cuma sekelumit yang baru dilakukan oleh Najib, ada juga yang tampil mengingatinya ketika menjadi doktor perubatan dahulu.

Mereka dengan bangganya, jauh sekali berasa takut, untuk menunjukkan serta berkongsi dengan rakyat jelata rasa bertuah mereka memiliki tandatangan Tun Mahathir pada surat beranak masing-masing.
Memiliki tandatangan pun mereka bangga, apatah lagi dengan nikmat pembangunan dan kesejahteraan ketika kepimpinannya?

Tidakkah semua ini merupakan petanda masa depan semakin buruk bagi Najib? 

Sebaliknya, apa yang boleh dibanggakan rakyat jelata tentang Najib?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA