Rabu, 2 Ogos 2017

'Kutip GST, hapus subsidi tapi hutang negara bertambah'

Perdana Menteri sedang giat 'menglipur lara' perwakilan persidangan Umno Bahagian tentang kehebatan tadbir urus dan ekonomi negara ketika sedang cemas dengan kebangkitan Pakatan Harapan, tegas Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh.
Menurutnya, Najib Razak tidak memetik kadar inflasi yang naik mendadak daripada 2.1 peratus tahun lalu kepada 4.3 peratus bagi suku pertama tahun ini.
Jelasnya, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia berkaitan indeks barangan makanan seperti minyak masak yang mencatat kenaikan ketara iaitu 48.5 peratus pada Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu tidak dinyatakan oleh Najib.
Syed Ibrahim Syed Noh"Mengapa laporan ini (Jabatan Perangkaan) tidak dipetik oleh Najib?" soalnya dipetik dari artikel beliau di akhbar Suara Keadilan terbaharu Bil. 335.
Hal sama juga, jelasnya, apabila Laporan Tahunan 2016 Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan realiti peningkatan kadar pengangguran sebanyak 12 peratus pada tahun lalu dengan kadar dalam kalangan belia mencecah 10.7 peratus berbanding 10.2 peratus tahun lalu.
"Malah dalam kalangan lulusan universiti, kadar pengangguran lebih tinggi iaitu 15.3 peratus berbeza dengan mereka yang tanpa kelulusan tinggi, iaitu 9.8 peratus.
"Mengapa laporan ini juga tidak dipetik oleh Najib?" soalnya lagi.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim juga menyifatkan banyak perkara yang bercanggah antara ucapan dan perbuatan Najib bersama pemimpin Umno-BN dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Rakyat masih tertanya-tanya kenapa hutang negara terus bertambah walaupun cukai GST dikutip dan banyak subsidi dihapuskan?
"Kenapa harga barang seperti ikan kembung naik sehingga lebih RM20 sekilo? Kenapa harga barang tetap naik walaupun dikatakan akan turun apabila GST dilaksanakan dan apabila harga minyak turun?" soalnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA