Jumaat, 11 Ogos 2017

Kerajaan, pembangkang disaran adakan meja bulat 1MDB

Maszlee Malik berkata, masyarakat sudah beku melihat pandangan berbeza setiap parti mengenai isu 1MDB.
maszee-malik-1mdb3
Seorang penganalisis politik menyarankan agar sidang meja bulat atau forum melibatkan wakil kerajaan dan semua parti pembangkang diadakan bagi membincangkan kemelut 1MDB secara menyeluruh demi manfaat rakyat.
Bercakap pada forum Apa Cerita Minggu Ini anjuran Invoke Malaysia malam semalam, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Maszlee Malik berkata, masyarakat sudah beku melihat pandangan berbeza setiap parti mengenai isu 1MDB.
“Apa pun pendirian parti (mengenai 1MDB) itu hak mereka. Sepatutnya perlu ada 1 perbincangan antara orang PAS yang pakar ekonomi mereka, dan kita panggil wakil PH seperti Tony Pua, Rafizi Ramli atau (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan wakil kerajaan duduk sekali menyampaikan hujah mereka mengenai 1MDB.
“Tetapi perbincangan terbuka itu tidak berlaku dan sukar di Malaysia. Masyarakat pun jadi beku otak,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta menyatakan pandangannya mengenai tindakan PAS pada Isnin lalu berkata mereka berpuas hati selepas mendengar penjelasan mengenai hutang yang ditanggung 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang itu daripada presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Arul Kanda memberikan penerangan kira-kira 2 jam kepada Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan hampir 30 ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, serta tokoh jemputan seperti bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sementara itu, ahli jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah, Zulhasmi Shariff berkata tempat yang sesuai untuk membincangkan 1MDB adalah Dewan Rakyat tetapi tidak berlaku di Malaysia.
Zulhasmi berkata, beliau hairan apabila 1MDB tidak boleh dibincangkan di Dewan Rakyat.
“Sepatutnya dibincangkan di Dewan Rakyat sebab ada kementerian kewangan dan rakyat semua boleh tengok. Kenapa tak boleh dibincangkan di Dewan Rakyat. Isu ini dibekukan. Halang 1MDB dibongkar.

“Saya bukan orang ekonomi, tetapi saya tidak faham jika 1MDB ada aset, kenapa perlu tangguh bayar hutang kepada IPIC,” katanya lagi.
Zulhasmi juga hairan mengenai tindakan Arul yang hanya memberi penerangan mengenai 1MDB kepada PAS sahaja dan tidak dilakukan kepada parti-parti lain.
Dalam pada itu, peguam Michelle Yesudas berkata, beliau tidak setuju pendirian PAS yang mengatakan ia berpuas hati selepas mendengar penerangan daripada Arul mengenai 1MDB.
Beliau juga bersetuju dengan Maszlee supaya diadakan diskusi menyeluruh perlu dianjurkan berikutan isu 1MDB sangat mencabar dan sukar untuk difahami.

1 ulasan:

  1. wajar juga tuan Maszlee yang memulakan lngkah tersebut atas nama NGO atau sebagainya. Atau paling tidak usahakan sesuatu agar berjaya. Bawak lah seramai mungkin manusia yang cerdik pandai kerana pemimpin PAS setakat baca doa boleh la.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA