Sabtu, 5 Ogos 2017

Keputusan kes "bin Abdullah" berbeza jika Artikel 121(1A) dibangkitkan



MOHAMED HANIPA MAIDIN

Alhamdulillah saya sudah membaca keputusan kes "Bin Abdullah" in toto (secara keseluruhan) yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan.
Mohamed Hanipa MaidinSebelum mengulas, fakta kes itu secara ringkas adalah ibu dan bapa kepada bayi yang dibinkan Abdullah itu beragama Islam. Pada 17 April 2010, bayi tersebut dilahirkan oleh Perayu Ketiga (ibu). Pada masa dilahirkan bayi itu baru berumur 5 bulan 24 hari (atau 5 bulan 27 hari mengikut kalendar Islam) daripada tarikh perayu kedua dan perayu ketiga berkahwin secara sah.
Perayu Kedua dan Ketiga memohon secara bersama untuk bayi tersebut dibinkan kepada bapa bayi itu (Perayu Kedua) mengikut seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta tersebut). Seksyen tersebut membenarkan nama individu yang mengakui diri beliau sebagai bapa anak luar nikah untuk dimasukkan dalam buku pendaftaran dengan syarat ibu kepada anak tersebut bersetuju. Dalam kes ini ibu anak tersebut bersetuju.
Bagaimanapun dalam sijil kelahiran anak tersebut yang dikeluarkan pada 6 Mac 2012 anak atau bayi tersebut dibinkan "Abdullah" dan bukannya Perayu Kedua yang mengaku bapa kepada anak tersebut.
Pada 2 Februari 2015, bapa bayi tersebut iaitu Perayu Kedua memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membetulkan nama "bin Abdullah" tersebut dan ditukar atas nama beliau. Permohonan dibuat di bawah seksyen 27(3) Akta tersebut tapi pihak JPN menolak permohonan itu melalui surat bertarikh 8 Mei 2015. Maka JPN disaman.
Di Mahkamah Tinggi, keputusan memihak kepada JPN. Ibu, bapa dan bayi tersebut merayu ke Mahkamah Rayuan dan menang.
Antara lain Mahkamah Rayuan memutuskan Hakim Mahkamah Tinggi gagal mengarahkan mindanya pada seksyen 13A (2) Akta tersebut yang menyebabkan keputusannya cacat dan wajar diketepikan.
Mahkamah Rayuan juga memutuskan keputusan JPN adalah berasaskan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 1981 dan 2003.
Mahkamah Rayuan berpendapat fatwa mempunyai kesan undang-undang di dalam "syariah jurisprudence" tetapi "has nothing to do with the 2nd Respondent's statutory duty under the BDRA (Akta tersebut)".
Berikut adalah ulasan perundangan saya:
Keputusan Mahkamah Rayuan yang hanya memutuskan kes itu semata-mata atas penafsiran Akta tersebut, bagi saya tidak boleh kita salahkan.
Cuma yang saya tidak faham kenapakah peguamcara JPN tidak membangkitkan isu bidang kuasa iaitu, "adakah mahkamah sivil ada bidang kuasa untuk memutuskan isu itu dalam keadaan ia ada kaitan dengan hukum Islam" dan kita ada Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas, bagi saya, memberikan bidang kuasa eksklusif untuk memutuskan isu sebegini kepada Mahkamah Syariah.

Memandangkan peguamcara JPN tidak membangkitkan isu Artikel 121(1A), maka untuk berlaku adil kepada Mahkamah Rayuan, mahkamah sudah tentu tidak berkewajipan (obligated) untuk memutuskan isu tersebut.
Saya yakin jika isu Artikel 121(1A) dibangkitkan, berkemungkinan besar keputusannya berlainan.
Bagi saya, isu di hadapan Mahkamah Rayuan bukan sekadar isu tafsiran peruntukan dalam Akta tersebut tetapi ia juga melibatkan tafsiran hukum Islam membabitkan kedudukan nasab status bayi di luar nikah yang sudah tentu di dalam kepakaran Mahkamah Syariah. Dan itulah hakikatnya rasional Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan diwujudkan pada 1988.
Sebelum wujud Artikel 121(1A), banyak kes yang melibatkan hukum Islam malangnya diputuskan oleh mahkamah sivil tapi nampaknya dengan keputusan terbaru ini berkemungkinan kita sedang membuat pusingan-U.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA