Isnin, 14 Ogos 2017

Kami selamatkan remaja dituduh cetus huru-hara, kata PPBM

Ia selepas beberapa remaja yang disyaki mencetuskan huru hara menjadi sasaran sekumpulan lelaki.
ulya-ppbm
PPBM berkata anggotanya cuba menyelamatkan beberapa remaja yang menjadi sasaran sekumpulan orang kerana disyaki menimbulkan kekacauan pada forum “Nothing to Hide” semalam yang terpaksa dihentikan selepas kekecohan daripada aksi baling suar dan pelbagai objek lain ke arah Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam laporan polis malam tadi, Ketua Penerangan Pemuda PPBM Ulya Aqamah Husamudin berkata di tengah-tengah kekecohan itu, ahli parti mendapati 2 remaja berpakaian baju T palsu PPBM sedang dikasari sekumpulan lelaki.
“Untuk menyelamatkan mereka, kami membawa mereka ke bilik VVIP supaya tidak ada lagi kekecohan di luar,” kata Ulya dalam laporan polisnya.
Menurutnya, seorang orang belia turut dikasari di dalam Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam di mana forum tersebut diadakan.
Ulya berkata belia yang tidak berbaju itu juga diselamatkan ahli parti sebelum diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Shah Alam Shafien Mamat semalam berkata 3 remaja berumur antara 17 dan 19 tahun ditahan susulan kekecohan di forum itu semalam, selepas beberapa objek dibaling ke arah pentas di mana Dr Mahathir sedang berucap.
Kejadian itu mencetuskan aksi pergaduhan dan tumbuk menumbuk, memaksa forum ditamatkan serta merta.
Semalam, FMT melaporkan sekumpulan lelaki bertindak sendirian dengan memukul beberapa belia yang disyaki mencetuskan huru hara, sebelum menolak mereka ke dalam sebuah bilik.

Wartawan FMT cuba memasuki bilik itu, tetapi diarah meninggalkan tempat berkenaan. Kedengaran bunyi seseorang dipukul dari dalam bilik terbabit yang dikawal ketat.
Kira-kira sejam kemudian, polis membawa dan mengiringi 2 suspek dari bilik VIP itu. Mereka kelihatan lemah dan tidak responsif.
Dalam laporan polisnya, Ulya berkata beliau terlihat sekumpulan remaja memakai baju T palsu PPBM berkumpul di luar dewan sebelum forum bermula.
“Kami memberi mereka peluang masuk ke dalam, berdasarkan dasar kami membolehkan semua orang mengaju soalan kepada Tun Mahathir,” katanya.
Bagaimanapun, Ulya berkata tidak dapat dipastikan sama ada kekacauan itu ditimbulkan kumpulan remaja terbabit.

1 ulasan:

  1. Kalau dalam drama gerak khas, aku dah suruh sarjan A Galak siasat budak² tersebut. Mesti terkencing punya dan terus bagitau siapa yg suruh mereka buat samseng di majlis Tun.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA