Khamis, 3 Ogos 2017

KALAU DAH TAHU TUN MAHATHIR MUSUH NO 1 NAJIB, BUAT APA ZAHID HAMIDI PERGI MENEMUINYA?


Sebagai rakan rapat dan sahabat baik kepada Najib Razak, apatah lagi baru saja dilantik memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, tindakan Ahmad Zahid Hamidi menemui Tun Mahathir Mohamad secara senyap-senyap boleh dikira suatu “dosa besar” dalam hukum politik duniawi.
Ini kerana pada ketika kejadian, Tun Mahathir adalah musuh politik nombor 1 kepada Najib dan sedang berusaha untuk menyingkirkan beliau daripada kerusi empuk Perdana Menteri.
Tiada keperluan sama-sekali untuk Zahid Hamidi menemui Tun Mahathir, apatah lagi jika benar seperti dakwaan bekas Perdana Menteri itu bahawa Timbalan Perdana Menteri datang bertujuan meminta sokongan untuk mengambil alih tempat Najib.
Bertemu dan berbual-bual saja pun sudah boleh dianggap “berdosa besar” dalam hukum politik duniawi, manakala melontarkan idea dan meminta sokongan Tun Mahathir untuk menggantikan Najib, bererti Zahid Hamidi telah melakukan “dua dosa besar” kepada Perdana Menteri.
Mujur Tun Mahathir menolak permintaan Zahid Hamidi itu. Apa jadi andainya Tun Mahathir bersetuju menyokong Zahid Hamidi ketika itu?
Apakah hari ini Najib sudah tersingkir dan Zahid Hamidi adalah Perdana Menteri kita?
Tindakan Zahid Hamidi menemui Tun Mahathir itu tidak jauh bezanya dengan perbuatan artis Aliff Aziz yang didapati berkaraoke secara sembunyi bersama perempuan lain, meskipun isterinya baru 20 hari melahirkan anak dan “menghadiahkan zuriat” kepadanya.
Zahid Hamidi menemui Tun Mahathir setelah sebulan dapat jawatan dan Aliff bersama wanita lain setelah 20 hari isterinya melahirkan anak – kedua-duanya adalah perbuatan yang dianggap curang dan tiada kesetiaan.
Sebagaimana isteri Aliff Aziz terluka, sudah barang tentu Najib juga terhiris hati dengan perbuatan Zahid Hamidi itu.
Cuma, walaupun Aliff Aziz sudah meminta maaf kepada isterinya dan ia dimaafkan, tiada diketahui sama ada Zahid Hamidi ada meminta maaf atau Najib sudah memaafkannya.
Sebab itu, Zahid Hamidi tidak harus terus berdiam diri dan membuatkan orang berteka-teki mengenai pertemuannya dengan Tun Mahathir itu.
Ramai ahli UMNO dan penyokong Najib  mungkin terluka, biarpun ada seorang dua pemimpin UMNO yang “sekadar di pinggiran” mengatakan pendedahan Tun Mahathir mengenai pertemuannya dengan Zahid Hamidi tidak lebih bertujuan melaga-lagakan antara “nombor satu” dengan “nombor dua”.
Namun demikian, kata mereka, kesetiaan Zahid Hamidi kepada Najib tidak perlu diragui kerana kedua-duanya dikatakan saling mengenali antara satu sama lain sudah begitu lama.
Lagi pula, tambah mereka lagi, tidak mungkin bekas Setiausaha Politik tergamak menikam “bekas bossnya” sendiri.
Namun demikian, selain mereka harus menyedari bahawa sejarah orang nombor dua mahu menyingkirkan orang nombor satu bukanlah asing dalam sejarah UMNO, sejarah politik Zahid Hamidi juga tidak harus ditutup begitu saja.
Walaupun diketahui umum sejarah politik Zahid Hamidi dalam UMNO bermula dengan menjadi Setiausaha Politik Najib, tetapi bukanlah rahsia juga bahawa “tauke besarnya” ialah Anwar Ibrahim.
Beliau lebih dikenali sebagai “orang Anwar Ibrahim” dan sebaik berhenti sebagai Setiausaha Politik Najib, Anwar yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan telah melantik Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional dan memberi laluan kepadanya mengambil alih beberapa syarikat senaraian awam, lalu bergelar tokoh korporat yang bergemerlapan dalam sekelip mata.
Diperbualkan tentang Zahid Hamidi ketika itu ialah “Najib memberinya kedudukan, tetapi Anwar memberinya peluang.”
Kedudukan dan perubahan status itulah juga yang banyak menyumbang kepada kejayaan Zahid Hamidi memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 1996, meskipun berlawan dengan tokoh-tokoh lebih besar iaitu Rahim Tamby Chik, Isa Samad dan Annuar Musa.
Seorang lagi yang turut bertanding ketika itu ialah Abdul Rahman Salleh, ahli UMNO biasa yang kini dilaporkan sudah pun meninggal dunia.
Dengan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang pro kepada Anwar, Zahid kemudian membangkitkan isu kronisme dan nepotisme dalam kerajaan sebagai suatu serangan kepada kepimpiman Tun Mahathir sehingga Perdana Menteri bertindak mengeluarkan senarai penerima kontrak-kontrak kerajaan untuk membuktikan tidak semua mereka yang rapat dengannya membolot segala rezeki dan kekayaan daripada kedudukannya.
Apabila Anwar dipecat pada 1998, Zahid Hamidi hanya di peringkat awal saja bersama “bekas tauke besarnya” itu, tetapi kemudian bertindak meninggalkannya untuk meneruskan perjuangan bersama UMNO yang dipimpin oleh Tun Mahathir sehinggalah beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Tun Abdullah Badawi pada tahun 2003.
Di bawah kepimpinan Tun Abdullah, barulah Zahid Hamidi dijadikan timbalan menteri dan seterusnya menteri penuh.
Ketika bersama UMNO dan menyokong kepimpinan Tun Mahathir, sementara Anwar sudah menubuhkan PKR bersama penyokong-penyokong setianya dalam UMNO dahulu, jika kita imbas, banyak juga serangan-serangan Zahid Hamidi kepada “bekas taukenya” yang menggambarkan seolah-olah beliau tidak pernah menerima sebarang budi daripada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Jika Anwar boleh diserang dan ditinggalkan, apakah kesetiaan Zahid Hamidi kepada Najib terlalu kukuh dan tidak mungkin goyah sama-sekali?
Dan adakah Najib tidak berhati-hati?

1 ulasan:

  1. Manusia xboleh pkai. Sapa sebenarnya yg dkatakn zahid... dapat madu sepah dibuang...
    Perpatah ini dtuju blik kpd beliau sendiri....zahid zahid...

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA