Selasa, 1 Ogos 2017

Jika tak salah, beri salinan IC kepada saya, kata Khairuddin pada Nur Jazlan

Khairuddin Abu Hassan membidas Nur Jazlan Mohamed yang berkata tindakan Zahid mendedahkan nama kad pengenalan Dr Mahathir tidak menyalahi undang-undang.
Khairuddin-Abu-Hassan-Nur-JazlanDatuk Seri Khairuddin Abu Hassan membidas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata tidak salah mendedahkan nama dalam kad pengenalan mana-mana individu memandangkan ia rekod umum.
Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan itu menyifatkan Nur Jazlan tidak faham undang-undang kerana menurutnya ia tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.
“Bagaimana dia boleh jadi timbalan menteri jika asas undang-undang pun tidak faham. Matlumat peribadi tidak boleh disalahguna orang lain, khususnya di zaman kini yang banyak jenayah siber.
“Jika begitu, bolehkah saya minta salinan kad pengenalannya untuk simpanan peribadi saya? Adakah dia sanggup beri salinan kepada saya?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Nur Jazlan dilaporkan mempertahankan tindakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan nama kad pengenalan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan berkata ia rekod awam dan bukan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Isu tercetus apabila Zahid ketika merasmikan majlis penutup mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya semalam membangkitkan soal keturunan Mahathir dengan menunjukkan kad pengenalan yang memaparkan nama “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

“Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty. Orang itulah yang memperjuangkan agenda Melayu untuk mempergunakan Melayu,” katanya yang mendakwa maklumat itu diberikan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri.
Khairuddin turut mempersoalkan tindakan Ketua Pengarah JPN yang memberikan maklumat itu apatah lagi untuk tujuan politik.
“Ini bukan sahaja tidak beretika tetapi salah di sisi undang-undang. Jika untuk kegunaan rasmi seperti siasatan tidak mengapa, tetapi Zahid memanipulasinya dalam program politik,” katanya.
Awal pagi tadi, Khairuddin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap Zahid dan Ketua Pengarah JPN ekoran isu itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA